MUAR: Tempoh reman terhadap remaja yang memandu secara melulu dan berbahaya hingga meragut nyawa empat sekeluarga di Jalan Renggam-Simpang Renggam di Kluang minggu lalu disambung dua hari lagi.
Perkara itu diputuskan Majistret Mustaqim Sukarno ketika suspek, 19, yang juga penuntut sebuah universiti di Singapura dibawa ke Mahkamah Majistret Muar hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata sambungan reman kali keempat itu dimohon bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan berhubung kemalangan itu.
Reman pertama dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum dibenarkan disambung dua hari di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Selasa lalu.
Tempoh reman kemudiannya disambung sehari lagi di Mahkamah Majistret Kluang pada keesokan hari.
Sebaik tempoh reman berakhir Khamis lalu, polis menahan semula suspek dan remaja itu sekali lagi direman empat hari di Mahkamah Sesyen Kluang untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tangkapan semula terhadap suspek dilakukan selepas kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Menurut Bahrin, siasatan mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 masih diteruskan berdasarkan video tular yang menunjukkan kenderaan dipandu suspek secara laju dan melulu.
Tindakan suspek pemandu Mercedes Benz A250, manakala abangnya berusia 22 tahun memandu BMW 530e menyebabkan kemalangan membabitkan lima kenderaan hingga meragut nyawa empat sekeluarga.
Video suspek memandu secara melulu dan berbahaya turut tular beberapa minit selepas kejadian itu.
Abang suspek turut maut dalam nahas terbabit ketika dalam perjalanan ke hospital bagi mendapat rawatan. – BH Online
