PUTRAJAYA: Malaysia sedia menghulurkan sebarang bantuan diperlukan susulan gempa bumi kuat yang melanda kawasan perairan selatan Filipina awal pagi tadi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Malaysia mengikuti rapat perkembangan bencana itu dan menzahirkan solidariti kepada rakyat Filipina yang terjejas.
Katanya, ingatan dan doa Malaysia bersama rakyat Filipina yang sedang berdepan kesan gempa bumi berkenaan.
“Malaysia bersedia untuk menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, Malaysia dan Filipina adalah sahabat rapat serta rakan dalam ASEAN yang sentiasa menjalin hubungan baik.
null
Beliau turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua mangsa yang terjejas akibat bencana berkenaan.
“Saya mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua yang terjejas, serta berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi hari-hari yang mencabar mendatang,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengambil maklum gegaran akibat gempa bumi berkenaan yang dirasai di beberapa kawasan di Sabah.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan sedang memantau situasi berkenaan dengan teliti.
Katanya, semua agensi dan perkhidmatan kecemasan negara kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Saya memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kerajaan sedang memantau situasi ini dengan rapi dan semua perkhidmatan kecemasan berada pada tahap kesiapsiagaan penuh,” katanya.
Gempa bumi magnitud 7.8 landa perairan luar pesisir Sarangani di selatan negara itu pagi tadi, lapor Pemantau Geologikal Amerika Syarikat (USGS).
Sehubungan itu, Jepun mengeluarkan amaran tsunami di sepanjang pantai Pasifik manakala agensi geofizik Indonesia turut mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pesisiran timur laut negara itu.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) pula mengeluarkan amaran tsunami melebihi satu meter berpotensi landa sembilan kawasan pesisir pantai di Filipina pagi ini.
Malah, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pesisir pantai di Sabah susulan gempa bumi kuat itu.-BH Online
