PETALING JAYA: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sudah menghadap Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah minggu lalu bagi memberi penjelasan mengenai peruntukan dan bantuan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu.
Beliau berkata, antara perkara yang dimaklumkan kepada baginda adalah peruntukan Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri, yang menurut beliau menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.
“Hasil penerangan itu, Tuanku dapat melihat bahawa memang wujud komitmen daripada Kerajaan Pusat untuk membantu negeri-negeri, termasuk Pahang, menerusi projek pembangunan yang dilaksanakan serta peruntukan kerajaan negeri yang meningkat secara konsisten dari tahun ke tahun.
“Ada beberapa usaha lain yang turut dizahirkan oleh Tuanku dan perkara itu akan kita perhalusi. Jika ada ruang untuk menambah baik proses yang sedia ada, kita akan usahakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mikro Kredit Turun Padang, di sini hari ini.
Program itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Johan Mahmood Merican bersama rakan strategik daripada Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), TEKUN Nasional, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Amir Hamzah berkata kerajaan turut komited membangunkan Pahang menerusi pelbagai inisiatif pembangunan dan bantuan yang disalurkan secara terus kepada rakyat.
Beliau berkata, antara inisiatif berkenaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang memberi manfaat kepada rakyat di seluruh negara termasuk di Pahang.
“Ini termasuk pelaksanaan projek strategik Pantai Timur seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, projek itu dijangka menjadi pemangkin kepada usaha menarik pelaburan baharu ke Pantai Timur, di samping meningkatkan pembangunan infrastruktur dan kawasan perindustrian di kawasan berkenaan.
“Bila ECRL siap, kita juga memberi penekanan kepada pembangunan zon-zon industri yang ada di Pantai Timur. Infrastruktur telah dibina dan kita mahu memastikan lebih banyak industri baharu dapat dibawa masuk ke kawasan itu.
“Selain itu, kita turut melihat bagaimana infrastruktur sokongan boleh ditambah baik supaya pelabur lebih mudah menggunakan kemudahan yang disediakan,” katanya.
Pada 8 Mei lalu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mempersoalkan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Amir Hamzah untuk menyediakan penjelasan menyeluruh untuk dikemukakan kepada baginda.-BH Online
