Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Badan pensijilan dan pengiktirafan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu ditubuhkan bagi memperkukuh pengiktirafan industri terhadap program itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penubuhan itu penting supaya tidak mengganggu akreditasi sedia ada oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Ketika ini, katanya MQA yang berada di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan tumpuan kepada akademik, manakala JPK di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menumpukan kepada kemahiran.

“Disebabkan kita ada 1,395 institut TVET seluruh negara, maka lebih baik jika akreditasi itu dilakukan satu badan khas,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pusat Penempatan TVET GITC (GTPC) dan Forum Industri Berimpak Tinggi pada Sambutan Hari TVET Negara 2026, hari ini.


Tambah Ahmad Zahid, penubuhan badan berkenaan tidak semestinya memerlukan penambahan tenaga kerja baharu kerana kepakaran sedia ada dalam MQA dan JPK boleh dimanfaatkan bagi mengendalikan aspek akreditasi TVET.

null

Katanya, penubuhan badan akreditasi TVET itu bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah dilaksanakan di beberapa negara maju.

“Model berkenaan selaras amalan negara-negara maju yang mempunyai badan akreditasi berasingan bagi memastikan standard pendidikan teknikal dan vokasional sentiasa relevan dengan keperluan industri. Ini boleh diikuti oleh Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata beliau sudah berbincang dengan pihak berkaitan termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Dr Zambry sudah komited dan Ketua Setiausaha Kementerian akan mendapatkan perkembangan lanjut dengan MQA dan JPK,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya menegaskan GTPC penting sebagai jambatan nasional antara bakat dan industri. 

Melalui GTPC, katanya proses penempatan latihan industri, pembelajaran berasaskan kerja, perantisan, peluang pekerjaan dan pemadanan bakat dilaksanakan dengan lebih tersusun.

“Tetapi lebih daripada itu, saya mahu GTPC mesti menjadi instrumen untuk negara membaca keperluan sebenar pasaran. 

“Sektor mana yang memerlukan bakat. Kemahiran apa yang semakin bernilai dan bagaimana peluang industri boleh sampai dengan lebih cepat kepada anak-anak TVET negara,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata, kerjasama erat antara institusi TVET dan pemain industri juga berjaya meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan apabila bidang latihan yang ditawarkan diselaraskan dengan keperluan sebenar pasaran kerja. 

Katanya, Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) mempunyai kira-kira 13,000 syarikat anggota, di mana 10,000 sudah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Majlis TVET Negara.

“Ia membolehkan institusi TVET menawarkan latihan yang memenuhi kehendak industri.

“Usaha itu juga berjaya mengelak ketidakpadanan kemahiran dan menyumbang kepada kadar kebolehpasaran graduan mencecah 98.7 peratus berbanding 95.1 peratus tahun lalu,” katanya.-BH Online