PUTRAJAYA: Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kekal kukuh meskipun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk bertanding secara berasingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan yang dibuat di peringkat negeri oleh kedua-dua gabungan itu tidak akan menjejaskan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, hubungan antara pemimpin parti yang membentuk kerajaan kekal baik dan Mesyuarat Jemaah Menteri berlangsung seperti biasa.
“Tiada kesan kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Mesyuarat Jemaah Menteri pada pagi tadi berjalan dengan lancar dan seperti biasa dalam suasana muhibah serta saling menghormati.
“Ia juga tidak memberi kesan kepada hubungan dalam kalangan pemimpin,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata pelaksanaan PRN di Johor dan Negeri Sembilan dibuat mengikut proses demokrasi serta peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Katanya, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri itu dibuat selepas permohonan dikemukakan kerajaan negeri masing-masing dan mendapat perkenan istana.
“Permohonan daripada Menteri Besar dan kerajaan negeri terbabit telah diperkenankan oleh Raja yang berdaulat, iaitu Pemangku Sultan Johor dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Jadi proses itu telah dilalui mengikut saluran yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kritikan sesetengah pihak yang mempersoalkan kewajaran mengadakan PRN ketika negara berdepan cabaran ekonomi susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Sejak kebelakangan ini, pelbagai pihak membangkitkan persoalan mengenai keperluan mengadakan pilihan raya negeri memandangkan ketidaktentuan ekonomi global yang dipengaruhi perkembangan geopolitik di rantau Asia Barat.-Astro Awani
