Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka melancarkan pusingan keenam Program Solar Skala Besar (LSS6) tahun ini, dengan semua projek tenaga solar akan datang disyaratkan menyertakan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bagi memperkukuh kestabilan grid elektrik negara.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata keperluan penyimpanan tenaga itu akan menjadi syarat dalam LSS6 seiring usaha Malaysia mempercepat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui (RE).

Beliau berkata, tenaga solar yang bersifat tidak stabil memerlukan sokongan sistem bateri bagi memastikan bekalan elektrik lebih konsisten dan boleh diurus dengan lebih cekap.

“Ini adalah salah satu aspek yang menyebabkan projek solar LSS6 mesti disertai dengan bateri. Jadi bermakna semua penjanaan kuasa baharu menggunakan solar dan sebagainya mesti datang dengan bateri selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis Perjanjian Kerjasama Strategik antara Mikro MSC Bhd dan Hong Kong Cospower Technology Co., Ltd. (HKCT) di sini, hari ini.

Beliau menambah, LSS6 merupakan antara perkara yang sedang dipercepatkan kerajaan berikutan krisis tenaga yang berlaku di peringkat global.

Sementara itu, Fadillah berkata kerajaan membuka tender bagi pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri berskala besar, dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) turut melaksanakan proses bidaan bagi projek berkaitan.

“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) terus memberi tumpuan kepada pembangunan sistem penyimpanan tenaga melalui program utama Battery Energy Storage System (MyBeST) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga.

“NETR turut menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi hijau negara dengan unjuran peluang pelaburan antara RM1.2 trilion hingga RM1.3 trilion menjelang tahun 2050.

“Ini menggariskan skala transformasi tenaga bersih negara dan kepentingan strategik penyimpanan tenaga dalam membolehkan penembusan tenaga boleh diperbaharui yang lebih besar,” katanya.

Terdahulu, Program MyBeST yang dilancarkan pada November 2024 menyasarkan kapasiti bateri sebanyak 400MW dengan jumlah penyimpanan tenaga 1,600 megawatt jam (MWh), melibatkan empat projek BESS di Semenanjung Malaysia.

Jelas Fadillah, Malaysia ketika ini menyasarkan pembangunan kapasiti sekitar 2,000 megawatt (MW) sistem BESS secara berperingkat, namun angka itu boleh berubah mengikut keperluan semasa.

Katanya, beberapa projek telahpun mula dilaksanakan, termasuk projek awal berkapasiti sekitar 100MW yang sudah beroperasi, manakala projek lain termasuk kapasiti 400MW sedang dalam perancangan untuk fasa seterusnya.

“Semua ini dilaksanakan secara berfasa. Ada yang telah berjalan, ada yang sedang berada dalam proses tender dan ada juga yang menjadi projek akan datang. Kita lihat keperluan semasa dan kita boleh percepatkan jika permintaan meningkat,” katanya.

Beliau menambah, pembangunan LSS dan BESS juga akan disepadukan sebagai satu pakej baharu tenaga, sejajar dengan keperluan global serta sasaran Malaysia mencapai campuran tenaga lebih mampan menjelang 2050 serta memastikan sistem tenaga negara lebih stabil dan bersedia untuk pertumbuhan permintaan.

Kerajaan turut menyasarkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui negara mencapai 70 peratus menjelang 2050 di bawah pelan NETR, dengan BESS dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong kestabilan grid dan integrasi tenaga solar berskala besar.-BH Online