Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Terminal Pengedaran Petroleum Lembah Klang (KVDT) memainkan peranan penting sebagai hab strategik pengadunan dan pengedaran biodiesel negara dalam menjayakan pelaksanaan biodiesel B15 yang mula berkuat kuasa secara rasmi di seluruh negara pada 1 Jun lalu.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata KVDT yang mengagihkan kira-kira 60 peratus keperluan bahan api Semenanjung Malaysia menjadi antara pusat pengadunan biodiesel utama untuk menyokong agenda kerajaan meningkatkan penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit secara berperingkat.

Beliau berkata, selain berfungsi sebagai pusat penyimpanan dan pengedaran petroleum utama bagi Lembah Klang, fasiliti berkenaan turut memainkan peranan penting memastikan bekalan biodiesel B15 dapat diagihkan secara teratur ke seluruh negara.

“Sebagai terminal pengedaran petroleum terbesar negara, KVDT mengendalikan purata 18 juta liter bahan api sehari meliputi petrol RON95, diesel dan Palm Methyl Ester (PME), selain menjadi antara pusat utama pengadunan biodiesel sebelum diedarkan ke seluruh negara.

“Lawatan media hari ini bertujuan memberi pendedahan mengenai operasi pengadunan dan pengedaran biodiesel serta tahap kesiapsiagaan pelaksanaan biodiesel B15 yang kini dilaksanakan secara rasmi di seluruh negara,” katanya selepas lawatan media ke KVDT di sini, hari ini.

Beliau berkata, KVDT merupakan komponen penting dalam rangkaian logistik Program Biodiesel Negara yang memastikan bekalan bahan api campuran biodiesel sampai kepada pengguna secara cekap dan teratur.

Katanya, program itu disokong ekosistem menyeluruh merangkumi 452 kilang minyak sawit, 54 kilang penapisan minyak sawit, 19 loji biodiesel dan 34 depoh pengadunan biodiesel di seluruh negara sebelum diedarkan ke lebih 4,400 stesen minyak.

“Infrastruktur lengkap ini membuktikan Malaysia mempunyai kapasiti, kepakaran serta keupayaan logistik yang kukuh untuk melaksanakan peningkatan kadar adunan biodiesel secara berperingkat dan teratur,” katanya.

Noraini berkata, pelaksanaan biodiesel B15 dijangka menggunakan kira-kira 0.8 juta tan metrik minyak sawit setahun tanpa menjejaskan pasaran eksport minyak sawit negara.

Sementara itu, Pengerusi KVDT yang juga Ketua Bahagian Bekalan dan Pengedaran Petronas Dagangan Bhd, Normah Basri, berkata pelaksanaan B15 mampu meningkatkan keselamatan bekalan tenaga negara menerusi penggunaan PME sebagai alternatif kepada diesel petroleum.

Beliau berkata, peningkatan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 mengurangkan keperluan penggunaan diesel petroleum secara langsung serta membantu mempelbagaikan sumber bekalan bahan api negara.

“Apabila campuran biodiesel ditingkatkan daripada B10 kepada B15, sebahagian penggunaan diesel petroleum dapat digantikan dengan PME. Ini membantu memanjangkan tempoh bekalan bahan api negara dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber diesel konvensional,” katanya.

Mengulas prestasi penggunaan B15, Normah berkata bahan api itu boleh digunakan seperti diesel konvensional tanpa menjejaskan operasi enjin atau memerlukan sebarang pengubahsuaian terhadap kenderaan.

Beliau turut menjelaskan biodiesel B15 ditawarkan pada harga yang sama seperti diesel sedia ada kerana tertakluk kepada mekanisme penetapan harga kerajaan.

“Dari segi prestasi, penggunaan biodiesel B15 tidak menjejaskan operasi enjin dan boleh digunakan seperti diesel konvensional tanpa memerlukan sebarang pengubahsuaian terhadap kenderaan,” katanya.-BH Online