KUALA LUMPUR: Peruntukan Kementerian Pendidikan sehingga RM10 juta bagi membekalkan bahan bacaan berkualiti kepada semua prasekolah di seluruh negara adalah langkah memperkukuh budaya membaca dan pembelajaran sejak usia muda.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian membina ekosistem ilmu yang kukuh melalui pemerkasaan perpustakaan sekolah, pusat sumber pendidikan serta pelbagai program galakan membaca.
“Budaya membaca perlu dipupuk sejak peringkat awal pendidikan bagi memastikan kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang menggalakkan penerokaan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.
“Justeru budaya membaca ini mesti bermula daripada umur yang lebih muda,” katanya berucap pada Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.
Beliau mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan somposium itu.
Pada sambutan Hari Guru 16 Mei lalu, Fadhlina dilaporkan berkata, sebanyak RM10.5 juta diperuntukkan bagi penyediaan bahan bacaan tambahan untuk 10,515 kelas prasekolah di seluruh negara.
Fadhlina berkata, selaras usaha itu, kementerian turut memperkenalkan segmen ‘Baca Bersama’ dalam kurikulum baharu prasekolah yang mula dilaksanakan tahun ini bagi memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.
Selain itu, katanya, KPM memperkenalkan segmen ‘PAKAT’ yang menggalakkan kerjasama antara ibu bapa, komuniti dan sekolah dalam membudayakan amalan membaca.
“Usaha memperkukuh budaya ilmu tidak hanya bergantung kepada penyediaan bahan bacaan, sebaliknya memerlukan ekosistem yang membolehkan masyarakat membaca, berfikir, berdialog dan terus menimba ilmu.
“Justeru akses kepada bahan bacaan berkualiti dan pembangunan budaya membaca perlu bergerak seiring bagi melahirkan masyarakat berilmu serta berdaya saing,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, perpustakaan dan bidang penterjemahan memainkan peranan penting dalam pembangunan tamadun serta penyebaran ilmu kepada masyarakat.
“Perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh ekosistem ilmu negara tanpa mengabaikan kepentingan bahasa dan budaya tempatan.
“Penganjuran LITRAI 2026 membuktikan ekosistem ilmu negara mampu menjadi medan pertemuan antara sarjana dan pengamal industri dalam usaha membangunkan teknologi yang berteraskan bahasa dan budaya setempat.
“Saya berharap simposium ini menjadi medan percambahan idea dan perkongsian pengalaman yang dapat membantu memperkukuh masa depan dunia kepustakaan, penterjemahan dan kecerdasan buatan,” katanya.-BH Online
