Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Pembangunan pesat dirancang dan dilaksanakan di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hang Tuah Jaya bukan sekadar merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat, malah membawa limpahan manfaat langsung kepada rakyat dan komuniti di kawasan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ini kerana setiap pelaburan dibawa masuk ke negeri ini serta pelaksanaan projek pembangunan sentiasa berpaksi falsafah Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan negeri.

Memberi contoh inisiatif MeSRa Kebajikan Masyarakat, katanya RM71.5 juta disalurkan kepada lebih 17,000 penerima yang layak di Parlimen Hang Tuah Jaya sepanjang tiga tahun lalu, manakala 21 projek pembangunan dengan nilai keseluruhan RM1.38 bilion sedang dan akan dilaksana.

“Dalam aspek pendidikan, pertambahan penduduk di Batu Berendam dan sekitarnya menuntut penyediaan kemudahan pendidikan lebih terancang dan kondusif, lantas sebuah Kompleks Sekolah Batu Berendam bernilai hampir RM213 juta akan dibangunkan dengan pembinaannya dijangka bermula Oktober tahun depan.

“Sebuah Tabika KEMAS baharu di Taman Ayer Keroh Heights akan dibina dengan peruntukan RM2.2 juta,” katanya ketika menutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Hang Tuah Jaya: Kampung Kita di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan DUN (JAPERUN) Ayer Molek, di sini hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf menyertai konvoi bermotosikal dari kediaman rasmi beliau di Seri Bendahara ke Warung Wak Apan di Kampung Bukit Lintang untuk bersarapan bersama penduduk DUN Ayer Molek.

Beliau kemudian menghadiri Pertandingan Gasing dan menyampaikan peruntukan menaik taraf Gelanggang Gasing Pangkah Delima Kampung Pengkalan Renggam daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berjumlah RM400,000.

Ab Rauf berkata, beberapa Projek Mitigasi Banjir juga sedang dilaksanakan di kawasan ‘hotspot’ seperti Taman Melawis, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bistari dan Taman Seri Jati dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.7 juta, selain Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Putat membabitkan peruntukan RM24.5 juta.

“Kerajaan negeri juga membuka lebih banyak peluang kepada peniaga kecil untuk menjana pendapatan serta memperluas perniagaan mereka, antaranya melalui projek membina ruang niaga terbuka di Tapak Laman Niaga Pinggiran Sungai MITC dengan kos RM573,000 yang dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini,” katanya.

Tegas Ab Rauf, sebanyak 603 daripada 907 aduan diterima sepanjang Program WRUR Parlimen Hang Tuah Jaya: Kampung Kita berjaya diselesaikan setakat ini, dengan baki masih dalam tindakan.-BH Online