Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sebarang keputusan diambil kerajaan perlu mengambil kira sentimen semua kaum di negara ini, terutama membabitkan agama, fahaman dan budaya.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, setiap keputusan berkenaan dibuat berasaskan peraturan dan apa saja tindakan memainkan sentimen perkauman tidak boleh dipandang remeh, yang boleh meruntuhkan asas negara yang dibina sejak sekian lama.

“Jika anda membuat keputusan semata-mata berdasarkan sentimen perkauman, orang Melayu mesti diingatkan bahawa walaupun mereka adalah majoriti, mereka harus sentiasa menghargai hakikat bahawa setiap warganegara mempunyai hak masing-masing. 

“Orang Cina dan India juga boleh menyuarakan tuntutan mereka tetapi mereka juga mesti ingat bahawa negara ini tidak boleh membenarkan reaksi perkauman yang melampau sehingga merosakkan asas masyarakat negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Mahasiswa India di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), Datuk Seri R Ramanan.

Perdana Menteri mengakui, beliau sering dikritik dan adakalanya didakwa tidak tegas dalam isu membabitkan sentimen perkauman, termasuk baru-baru ini dalam isu kuil dan penternakan babi.

Katanya, kadang-kala kenyataannya disalah tafsir walaupun beliau tidak berniat sedemikian, namun beliau sentiasa bersedia untuk diperbetulkan.

“Tegas bagaimana sekali pun, kita mesti santuni budaya, fahaman dan agama orang lain, namun kita mematuhi peraturan.

“Bagaimanapun, janganlah sehingga menanam perasaan dan melukakan perasaan orang-orang yang mahu menjalankan mematuhi kepercayaan masing-masing. Hal ini sukar, termasuk yang terpaksa saya hadapi,” katanya.-BH Online