Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertingkat pengawasan dan kawalan sempadan bagi mengekang penularan wabak Hantavirus, meskipun tiada kes tempatan dilaporkan dalam kalangan rakyat Malaysia setakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM mengekalkan tahap kesiapsiagaan tinggi melalui pemantauan global dan pemeriksaan ketat di semua pintu masuk antarabangsa, khususnya ke atas semua kapal dan bot yang memasuki perairan Malaysia.

Setakat ini, katanya 22,367 kapal dan bot sudah diperiksa di pintu masuk negara bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian kesihatan dan sanitasi antarabangsa.

“KKM juga mengeluarkan 2,421 sijil ‘pratique’ atau sijil praktikal dan 1,146 sijil sanitasi kapal susulan pemeriksaan rapi berkenaan.

“Kami mahu memastikan setiap kapal memasuki negara ini memenuhi dan mematuhi keperluan kesihatan awam serta sanitasi antarabangsa.

“Walaupun enam kes sudah disahkan makmal dilaporkan di tempat lain, kes berkenaan dikaitkan dengan kapal asing dan tidak membabitkan warga tempatan,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2026 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa tiada negara yang selamat melainkan semua mengambil pendekatan proaktif terhadap kesiapsiagaan dan sentiasa berwaspada susulan penularan Hantavirus.

Beliau menegaskan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dilengkapi sepenuhnya keupayaan ujian PCR untuk mendiagnosis virus berkenaan yang utamanya disebarkan oleh tikus.

“Kapasiti makmal kami di IMR adalah paling kritikal kerana ia mempunyai keupayaan untuk membuat diagnosis membabitkan polimerase antivirus,” katanya.

“Pemerkasaan komuniti dan komunikasi risiko penting bagi memastikan orang awam mendapat maklumat mengenai pencegahan.

“Kita mesti memperhebat kempen kesedaran awam supaya rakyat lebih peka dan berpengetahuan mengenai kebersihan serta kepentingan mendapatkan rawatan awal jika mempunyai gejala,” katanya.

Tambah Dzulkefly, walaupun KKM tidak mahu mencetuskan suasana cemas, penting bagi sistem kesihatan untuk kekal responsif dan berwaspada.

“Kita tidak mahu membimbangkan orang ramai, tetapi kita juga tidak mahu orang berfikir perkara ini hanya berlaku di luar sempadan kita, sistem kesihatan kita mesti kekal pada tahap kesediaan yang tinggi,” katanya.-BH Online