Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI: Peranan Parlimen dalam urusan pelantikan jawatan eksekutif susulan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dikompromi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. 

Beliau berkata pihaknya sedang meneliti ‘mandat’ yang boleh dimainkan oleh Parlimen untuk urusan pelantikan bagi jawatan eksekutif seperti Pendakwa Raya kerana Parlimen tidak boleh lari daripada tanggungjawab itu.

Sambil menegaskan tiada negara yang sepenuhnya bebas terbabit dalam proses pelantikan jawatan eksekutif tertinggi, beliau memberi analogi negara seperti Kanada, Australia dan United Kingdom (UK) sampai sekarang masih mempraktikan amalan perlu mendapatkan ‘perkenan’ daripada raja atas nasihat Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya perkara itu akan dimuktamadkan pada sesi yang akan berlangsung 18 Mei ini.

“Tapi di negara tertentu, ada Parlimen memainkan peranan kerana mereka percaya Parlimen ada pandangan, Parlimen boleh persoalkan personaliti, boleh debat terhadap personaliti.

“Mereka percaya bahawa ini adalah sistem yang lebih baik untuk negara mereka sebab jika tanya saya, kepemimpinan akan membuat keputusan. Tapi bagi sesetengah orang akan fikir pandangan itu mungkin akan membawa kepada berat sebelah.

“Contoh, jika anda cadangkan nama kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), ada juga tanggapan tersirat bahawa anda mungkin (calonkan) individu yang anda kenal seperti bekas hakim, bekas ketua hakim atau sesiapa saja. Perkara itu sudah sedia ada tapi Parlimen akan mencadangkan nama lain.

“Untuk contoh, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ada orang nak Tan Sri Azam Baki disingkirkan dan Parlimen nak berdebat. Tapi sistem kita tak benarkan.

“Tiba-tiba bekas hakim dilantik untuk jawatan itu. Reaksi orang, siapa dia ini? Jadi beberapa negara, mereka percaya, Ahli Parlimen atau Parlimen boleh terlibat dalam proses (pelantikan eksekutif),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama mahasiswa sempena Majlis Penutup Program Townhall Kerangka Akauntabiliti MADANI 2026 di Akademi Perundangan Negara (APN) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zamri Misman dan Ketua Pengarah APN JPM, Rushan Lutfi Mohamed.

Mengulas lanjut urusan pelantikan Peguam Negara, Azalina berkata lazimnya ia ‘terikat’ dengan lantikan politik.

Untuk pelantikan Pendakwa Raya, beliau menegaskan ia perlu berbeza dengan ‘amalan’ pelantikan Peguam Negara.

“Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah penting untuk negara kita. Kenapa? Sebab Peguam Negara selalunya menerusi lantikan politik. Ini kerana, Peguam Negara akan beri nasihat kepada kerajaan. 

“Jadi apa yang berlaku dalam kebanyakan keadaan adalah bila anda penasihat kepada kerajaan, anda mungkin cenderung berat sebelah. Sebab itu kebanyakan orang awam dan Ahli Parlimen setuju kena pemisahan tugas. 

“Jika anda Peguam Negara, okay tidak apa kerajaan atau orang politik akan lantik anda. Tapi jika anda Pendakwa Raya perlu berbeza dan bebas.

“Kenapa perlu bebas? Ia penting supaya pendakwaan perlu dilakukan dengan yakin tanpa berat sebelah. Bila mendakwa seseorang, anda ada imuniti untuk berbuat demikian tapi anda tak boleh dakwa berdasarkan alasan peribadi. Itu tidak adil,” katanya.-BH Online