Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan bagi Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) akan dinaikkan kepada RM150 juta mulai tahun ini, berbanding RM100 juta sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, penambahan peruntukan itu bagi memastikan program dilaksanakan MITRA dapat ditambah baik dan benar-benar sampai kepada golongan sasar.

“Kita harus perbaiki program supaya program betul-betul sampai kepada kelompok yang memerlukan. 

“Jika tanya saya, apakah RM100 juta cukup? Tidak… tapi jika katakan hanya RM100 juta saja, itu tidak benar. 

“Disebabkan saya lihat mutakhir ini prestasi MITRA terbaik, saya setuju mulai tahun ini, kita tambah (peruntukan) jadi RM150 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Mahasiswa India di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA, Datuk Seri R Ramanan.

Sementara itu, Perdana Menteri membidas tindakan sesetengah pihak yang mempersoal peruntukan untuk masyarakat India di bawah MITRA yang disifatkan kecil, sedangkan pelbagai program rakyat dilaksanakan kerajaan, termasuk membasmi kemiskinan turut membabitkan kaum itu.

“Ada beberapa orang politik India yang mengatakan dengan masyarakat India, takkan kita beri bantuan hanya RM100 juta setahun. Inilah masalah dalam negara kita. Dia tahu dia berbohong dan dia tidak memberikan kenyataan. 

“Bagaimanapun, jika dia katakan bolehkah tambah (peruntukan) dalam kementerian dan program tertentu? Saya terima.

“Saya tidak katakan kita lakukan semua yang terbaik. Kita boleh perbaiki tetapi untuk menyatakan tidak ada bantuan (kepada masyarakat India), tidak benar,” katanya.

Sementara itu, Ramanan berkata ini kali pertama peruntukan bagi MITRA dinaikkan sejak penubuhannya lebih 20 tahun lalu.

Justeru, beliau amat berterima kasih dengan keprihatinan Perdana Menteri dalam membantu pembangunan masyarakat India.

“Lebih 20 tahun lalu, peruntukan tidak pernah naik, hanya kekal RM100 juta.

“Pada masa sama, kita tidak boleh ingat peruntukan untuk komuniti India hanya RM100 juta itu saja kerana kita ada banyak program lain, seperti di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) dan SME Bank,” katanya.-BH Online