Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah meminta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, untuk melihat secara keseluruhan langkah untuk menjana ekonomi di Langkawi.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan juga akan meneliti cadangan dan titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, supaya Langkawi kembali berstatus bebas cukai sepenuhnya sebagaimana dinikmati sebelum ini.

Beliau berkata, kos yang tinggi di Langkawi dengan sendirinya tidak dapat menarik pelancong domestik ke pulau peranginan itu.

“Ya, itu kita teliti… satu cadangan yang harus kita berikan perhatian kerana kedudukan Langkawi itu malap sedikit.

“Saya sudah meminta Menteri Kewangan II untuk melihat keseluruhannya bagaimana boleh menjana semula… kerana kos di Langkawi agak tinggi, itu dengan sendirinya tidak dapat menarik pelancong dari dalam negeri sekalipun.

“Maknanya, kita bersedia meneliti dan menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Kedah… kita akan meneliti,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkara terbabit berada dalam senarai perbincangan yang dijalankan, namun penelitian lanjut harus dilakukan kerana kerajaan menerima banyak permintaan terhadap status bebas cukai sepenuhnya itu.

Pada Isnin lalu, media melaporkan Sultan Sallehuddin pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, bertitah supaya Kerajaan Persekutuan mengembalikan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan yang dinikmati sebelum ini.

Sultan Sallehuddin dipetik bertitah, baginda difahamkan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai masih kekal, namun beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan.

Titah baginda, ia termasuk pelaksanaan kadar cukai kepada kenderaan yang dihadkan, cukai-cukai kepada produk yang berasaskan tembakau serta barangan lain.-BH Online