Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dijangka membentangkan pindaan ke atas Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) di Parlimen pada awal tahun depan, antara lain bagi memberi kuasa lebih luas kepada pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam tugas penguatkuasaan.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata kementerian kini dalam fasa akhir memuktamadkan pindaan akta itu yang disifatkan lebih menyeluruh dalam menangani isu alam sekitar yang lebih kompleks.

“Kita akan meningkatkan lagi kuasa (penguat kuasa) di bawah JAS supaya mereka boleh melaksanakan tugas dengan lebih berkesan. 

“Pada masa sama, kita juga sentiasa memperbaiki operasi di JAS dengan meningkatkan penggunaan teknologi lebih canggih, termasuk pasukan skuba untuk menyelam dalam air dan penggunaan dron serta kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan kita sentiasa mendahului penjenayah alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Penguatkuasa JAS Ke-51, di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengenai terdapat kemungkinan kegiatan pemprosesan sisa elektronik (e-waste) dijalankan sindiket yang mempunyai jaringan dalam kalangan pemain industri sama, Arthur berkata, perkara itu sememangnya dalam radar JAS.

“JAS dibabitkan melalui Ops Hazard, yang mana kita melawat premis, khususnya kilang haram yang beroperasi tanpa lesen dan berbahaya kepada alam sekitar serta pekerja.

“Apabila kilang ini beroperasi, ia tidak mengikut undang-undang, malah pekerja juga tidak memakai peralatan perlindungan diri (PPE),” katanya.

Selain itu, Arthur berkata, beliau akan membentangkan Kertas Kabinet kepada Jemaah Menteri pada minggu depan bagi penambahan pegawai JAS untuk memenuhi tuntutan tugas yang semakin bertambah.

Katanya, ia adalah antara usaha ke arah penubuhan cawangan JAS di Pelabuhan Klang bagi memperkukuh kawalan dan mempercepat tindakan penguatkuasaan terhadap kes buangan terjadual dan e-waste di pintu masuk utama negara.-BH Online