Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diarah membuat siasatan berhubung kerosakan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 semalam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) memandang serius kerosakan BHS di KLIA Terminal 1 pada petang semalam, kerana gangguan tersebut menyebabkan kelewatan bagasi antara dua hingga empat jam bagi sejumlah besar penumpang yang tiba, dan kesulitan yang dialami amat dikesali.

“Walaupun saya mengambil maklum bahawa sistem BHS telah dipulihkan pada petang yang sama, pemulihan teknikal tidak bermakna perkara ini selesai. Penumpang yang melalui pintu masuk utama negara berhak mendapat tahap perkhidmatan yang boleh dipercayai dan insiden ini jelas gagal memenuhi kriteria ini.

“CAAM telah diarahkan untuk memulakan siasatan terhadap perkara ini dan meneliti sama ada tindakan berupa hukuman wajar dikenakan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) atas kegagalan dalam penyampaian perkhidmatannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loke berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha MOT, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan supaya mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi berkaitan pada pagi Isnin (esok).

“Mesyuarat tersebut akan melakukan semakan menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang mengawal pengurusan kerosakan di lapangan terbang kita, dengan tumpuan khusus kepada masa tindak balas, komunikasi dengan penumpang, dan protokol pelan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata sebagai sebuah pintu masuk utama negara, ia tidak boleh berdepan dengan kelemahan berulang seperti itu dan MAHB, sebagai pengendali KLIA akan dipertanggungjawabkan atas kerosakan tersebut.

Loke berkata selain langkah pemulihan segera, insiden itu menunjukkan sesuatu yang perlu ditangani pada tahap yang lebih serius.

“Kita tidak boleh merealisasikan aspirasi kita untuk menjadi antara lapangan terbang terbaik dunia tanpa terlebih dahulu menyemai budaya kebertanggungjawaban yang sebenar dalam organisasi.

“Standard yang kita (sektor penerbangan) tetapkan untuk diri sendiri mesti dizahirkan melalui cara kita bertindak balas, cara kita mengakui kegagalan, dan cara kita memimpin sepanjang rantaian arahan.

“Jika kita serius dengan hasrat untuk menjadi lapangan terbang bertaraf dunia, kita juga mesti sama serius dalam memupuk budaya tanggungjawab yang setanding dengan aspirasi tersebut,” tegasnya.-BH Online