Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Dakwaan Kerajaan Persekutuan cuba menganaktirikan serta mengetepikan pembangunan di empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) atau lebih dikenali ‘State Government 4’ (SG4) adalah tidak berasas

Memberi contoh Kelantan, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata keseluruhan projek di negeri itu bagi 2027 adalah sebanyak 509 dengan kos RM31.21 bilion.

Katanya, peruntukan Persekutuan untuk perbelanjaan pembangunan empat negeri terbabit adalah 6.8 kali ganda lebih banyak berbanding apa yang diminta.

“Dalam kita berbahas untuk merancakkan pembangunan ekonomi masing-masing, Kerajaan Persekutuan tidak melihat keperluan meminggirkan mana-mana negeri. 

“Sehubungan itu, saya berharap pihak sana mengeluarkan kenyataan yang lebih adil,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Tambahnya, sekiranya perbandingan berdasarkan nisbah tertentu, termasuk jumlah penduduk, Kelantan mempunyai ruang untuk menerima peruntukan lebih tinggi.

“Sehubungan itu, perbandingan peruntukan pembangunan perlu mengambil kira tahap pembangunan sesebuah negeri serta keperluan merapatkan jurang pembangunan antara negeri.

“Sebagai contoh, bagi negeri yang lebih membangun, kos pembangunan infrastruktur mungkin ditanggung oleh kerajaan negeri apabila kawasan perindustrian baharu dibuka.

“Namun, bagi pembangunan kawasan seperti Tok Bali di Kelantan dan Kulim Hi-Tech Park, Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan, termasuk bagi urusan pembelian tanah, bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dan jurang pembangunan dapat dirapatkan,” katanya. -BH Online