Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan diarah untuk menangani segera proses penyasaran subsidi diesel dengan menggunakan mekanisme sama seperti pemberian BUDI95 bagi minyak subsidi RON95.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan demikian dan mahu kementerian membentangkan perincian mengenai proses berkenaan sama ada pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) pada Selasa depan atau Mesyuarat Kabinet sehari kemudian.

Beliau berkata, kerajaan mula meneliti mekanisme yang terbaik untuk mengubah cara pengagihan subsidi BUDI Diesel Individu yang ketika ini dalam bentuk pindahan tunai kepada mekanisme sama yang digunakan bagi BUDI95.

“Kita jangka apabila tiba masanya nanti, ini akan dapat membantu terutama bagi rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan diesel.

“Jadi caranya lebih mudah, lebih efisien dan berkesan kalau kita lihat kepada cara pelaksanaan BUDI95,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Mingguan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.-BH Online