Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan keselamatan dan kestabilan di Selat Melaka kekal terjamin, sekali gus menafikan risiko laluan penting perkapalan itu akan menerima nasib sama seperti Selat Hormuz ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan mengenai situasi di Selat Hormuz yang kemungkinan besar berulang di rantau ini.

“Apa yang berlaku di Selat Hormuz bukan sesuatu yang perlu dicontohi dan kita akan pastikan ia tidak berulang di Selat Melaka.

“Malaysia, Indonesia dan Singapura adalah negara yang mematuhi undang undang antarabangsa serta menjunjung prinsip kebebasan pelayaran dan perdagangan, jadi tidak wajar menyamakan kedua dua laluan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan akhir pameran di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled eliau berkata konflik semasa memberi pengajaran kepada negara mengenai perubahan landskap peperangan moden.

“Kita lihat banyak teknologi baharu, namun untuk berdepan cabaran negara yang mempunyai aset canggih, keupayaan menghasilkan aset dengan cepat dan kos rendah juga penting.

“Kita tidak semestinya melawan pesawat dengan pesawat, sebaliknya penggunaan dron, roket dan peluru berpandu dalam jumlah besar menjadi antara pendekatan yang dilihat lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut menegaskan penyertaan syarikat dari pelbagai negara dalam DSA tidak bercanggah dengan pendirian Malaysia walaupun ada pihak membangkitkan isu berkait konflik global.

“Ini adalah pameran perdagangan dan platform berkecuali. Kita menghormati pandangan semua pihak, namun acara ini memberi peluang kepada kita menilai dan membuat keputusan berdasarkan keperluan negara.

“Pada akhirnya, kita mungkin menjadi pembeli dan platform ini membolehkan kita membandingkan serta menilai produk yang ada,” katanya.-BH Online