Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUNGAI BULOH : Kapasiti 19 loji pengeluaran biodiesel yang sedang beroperasi di seluruh negara ketika ini dijangka mampu membekalkan kira-kira 1.5 juta liter bahan itu sebulan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keupayaan pengeluaran itu, mampu menampung penggunaan serta permintaan tempatan, sekali gus membantu mengimbangi kenaikan harga diesel pada masa ini.

“Kini terdapat 19 loji pengeluaran ‘biofuel’ sama ada B15 hingga B50 dan kita akan gunakan ‘sludge’ atau input pengeluaran daripada CPO (minyak mentah sawit), di mana terdapat 35 peratus ‘sludge’ akan dimanfaatkan untuk mengeluarkan biodiesel dan juga (minyak) jet A1.

“Ini sudah dimulakan dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada dasarnya sudah menerima saranan itu. Kita akan selaraskan dengan badan dan syarikat berkenaan. Kita mahu lihat supaya kos pengeluarannya itu rendah apabila terdapat sinergi dilakukan bersama-sama dengan 19 loji itu.

“Setakat ini ia akan dapat menyumbang kepada lebih kurang 1.5 juta liter biodiesel sebulan. Kita harap dengan adanya pengeluaran ini, ia akan mengurangkan kos dan harga keseluruhannya akan turun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian RissMart Grocer di sini, hari ini. 

Turut sama hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Pengerusi RISDA, Mandzri Nasib.

Berdasarkan ujian yang sudah dilakukan, Ahmad Zahid berkata, tidak ada keraguan terhadap biodiesel yang akan dihasilkan terutama dari segi keupayaan untuk digunakan oleh kenderaan.

“Kita sudah melakukan ujian. PETRONAS juga sudah melakukan ujian terhadap diesel ini. Kita juga bekerjasama dengan beberapa syarikat pengeluaran kenderaan untuk menguji kesesuaian dan biodiesel ini bagi kenderaan diesel yang dikeluarkan di negara kita.

“Insya-Allah dari segi jangka panjang, ia mampu menstabil dan menurunkan harga diesel di negara ini,” katanya.

Mengulas mengenai RissMart Grocer, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, rangkaian RisSMart bukan saja platform jualan, sebaliknya ekosistem peruncitan yang mampu memperluas pasaran produk desa dengan lebih tersusun dan berimpak tinggi.

“RisSMart bukan sekadar outlet biasa, tetapi sebuah hab pemasaran yang holistik bagi membantu usahawan desa bergerak daripada pengeluaran kecil kepada pengkomersialan yang lebih mampan,” katanya.

Katanya, model operasi RisSMart Grocer turut mengadaptasi pendekatan ‘farm-to-market’ yang menghubungkan pengeluar secara terus kepada pengguna, sekali gus mengurangkan kebergantungan orang tengah, meningkatkan margin pendapatan usahawan di samping penawaran harga kompetitif kepada pengguna. 

“Secara tidak langsung, inisiatif ini juga menyokong pembentukan rantaian bekalan yang lebih cekap, mampan dan responsif terhadap keperluan pasaran,” katanya sambil menegaskan, pemasaran bersepadu dengan sokongan teknologi, data, logistik dan pendigitalan turut menjadi fokus utama bagi memastikan produk desa mampu bersaing dalam pasaran lebih luas.

Pasaraya di bawah seliaan anak syarikat RISDA, Risda Agri Food Industries Sdn Bhd (RAFI) itu menyasarkan jualan RM30 juta melalui semua rangkaiannya menjelang 2030, dijangka mampu menjadikannya pemangkin baharu ekonomi pekebun kecil.-BH Online