Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu meneliti semula segala perancangan termasuk Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) dan Belanjawan 2027 susulan krisis tenaga global yang berlaku ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini penting agar segala perancangan perbelanjaan dan pendapatan negara diimbangi dengan keadaan semasa.

“Sarawak terlebih awal menggunakan tenaga solar sebagai bahan tenaga dan pada waktu sama dalam jangka panjang satu ketika dahulu, mereka mempunyai hydropower yang bukan hanya membekalkan untuk kegunaan Sarawak tetapi boleh dieksport ke Semananjung serta negara jiran.

Lesson learnt daripada keadaan ini, pada hemat saya memberi beberapa pengajaran kepada kita. Kita melihat bahawa Rancangan Malaysia ke-13 harus dilihat semula.

“Malah, bajet yang telah dibentangkan bulan Oktober yang lalu harus melihat analisis yang baharu dan untuk Bajet 2027 juga harus melihat fakta-fakta yang baru ini,” kata beliau dalam ucaptama BN Forum Siri 10: Kesan konflik Amerika Syarikat-Iran ke atas Malaysia di ibu negara, pada Rabu.

Sehubungan itu, Zahid melihat persiapan awal kerajaan dalam membangunkan negara dan berdepan krisis adalah penting.

Selain itu, beliau akui bahawa pergolakan di Asia Barat memberi kesan besar kepada kerajaan berikutan peningkatan kos bahan api dan krisis tenaga.

Menurutnya, situasi itu turut dilihat mendepani negara-negara jiran yang berdepan bekalan bahan api mahupun tenaga hingga memberi kesan kepada kehidupan rakyat mereka.

Sehubungan itu, Malaysia katanya, ada strategi untuk mengimbangi beban kos yang ditanggung dan memastikan kebajikan rakyat terpelihara.-Astro Awani