SEPANG: Tiada perubahan membabitkan jadual penerbangan jemaah haji tanah air bagi musim haji 1447H/2026M yang dijadualkan bermula Sabtu ini hingga 20 Mei depan.
Perkembangan itu dimaklumkan Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air (OHTA), Lembaga Tabung Haji (TH), Mohd Norber Kassim, yang turut memberitahu, penerbangan pertama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu ini membabitkan 284 jemaah.
Beliau berkata, TH pada masa sama sentiasa merujuk kepada syarikat penerbangan bagi mendapatkan perkembangan semasa mengenai operasi dan penjadualan penerbangan sepanjang musim haji, khususnya sekiranya terdapat gangguan susulan konflik Asia Barat.
“Setakat ini TH telah bekerjasama dengan Malaysia Airlines (MAS) dan pihak Saudia Airlines (Saudia) yang menyediakan penerbangan.
“Insya-Allah penerbangan (jemaah musim haji kali ini) akan mengikut ketetapan dan keperluan yang telah dirancang,” katanya selepas Lawatan Media bagi Operasi Haji Musim Haji 1447H/2026M, i Movenpick Hotel & Convention Centred (MHCC), di sini hari ini.
Terdahulu, media dibawa persiapan dan operasi haji musim 1447H/2026M termasuk mengenai aliran pergerakan bakal jemaah haji dari balai berlepas utama di MHCC ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Di MHCC, media meninjau persiapan dan kemudahan disediakan TH di MHCC yang berperanan sebagai stesen pelepasan utama jemaah haji dengan pelbagai kaunter disediakan termasuk bagi urusan pasport, bagasi dan dokumentasi.
Mengulas lanjut mengenai persiapan menjelang penerbangan pertama Sabtu ini, Mohd Norber berkata, ketika ini, semuanya hampir selesai sama ada membabitkan kesiapsiagaan di tanah air atau di Tanah Suci.
“Saya boleh katakan (persiapan) hampir 100 peratus, mungkin ada ‘adjustment’ (perubahan) di sana sini disebabkan ada perkara atau arahan baru. Secara keseluruhannya, kita sudah bersedia di semua sektor.
“Di tanah air, ia babitkan lapan stesen dengan MHCC, Sepang adalah stesen utama, semua (persiapan) telah selesai dari segi penyelarasan operasi.
“TH juga telah berbincang dengan semua agensi yang terbabit di semua stesen supaya semua urusan keberangkatan (jemaah) berjalan lancar,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kumpulan pertama petugas haji TH sudah diterbangkan pada ke Tanah Suci pada 11 April lalu, manakala kumpulan kedua akan menaiki penerbangan dari KLIA hari ini.
Untuk rekod, penerbangan jemaah haji ke Tanah Suci dijadualkan bermula 18 April ini hingga 20 Mei depan, manakala penerbangan pulang pula dari 4 hingga 30 Jun.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan untuk membawa seramai 31,600 jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci, tahun ini.-BH Online
