KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen merekodkan kutipan kompaun sebanyak RM91.78 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober lalu, membabitkan 32,052 individu dan majikan atas kesalahan yang boleh dikompaun di bawah undang-undang imigresen.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam kenyataan di Facebook berkata daripada jumlah itu, kutipan sebanyak RM50.04 juta membabitkan 2,459 majikan, manakala RM41.74 juta lagi dikenakan terhadap 29,593 pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kutipan kompaun membabitkan majikan itu merangkumi 54.5 peratus daripada keseluruhan jumlah, sekali gus menunjukkan tindakan penguatkuasaan Imigresen turut memberi tumpuan kepada pihak yang menggaji pekerja asing tanpa mematuhi undang-undang.
“Penguatkuasaan imigresen tidak seharusnya hanya tertumpu kepada tindakan terhadap PATI, tetapi juga perlu membabitkan majikan yang menggaji pekerja asing tanpa mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
Majikan mempunyai tanggungjawab memastikan setiap pekerja asing yang diambil bekerja memiliki dokumen dan permit sah serta memenuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa.
Tindakan terhadap majikan penting bagi memastikan pihak yang mengambil kesempatan daripada penggajian warga asing secara tidak sah turut dikenakan tindakan undang-undang.
“Statistik ini memberikan gambaran mengenai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan yang dilaksanakan JIM berdasarkan tanggungjawab dan kuasa yang diperuntukkan undang-undang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kutipan kompaun bukan satu-satunya ukuran keberkesanan penguatkuasaan, sebaliknya usaha menangani isu PATI turut memerlukan operasi, pemeriksaan dan pemantauan berterusan.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, orang ramai boleh membantu usaha berkenaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan yang disyaki melanggar undang-undang imigresen kepada pihak berkuasa, tanpa mengambil tindakan sendiri.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Imigresen serta seluruh warga jabatan berkenaan atas komitmen dan usaha berterusan dalam melaksanakan amanah penguatkuasaan ini,” katanya.
Tindakan penguatkuasaan perlu diteruskan secara tegas, adil dan berintegriti bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi semua pihak. -BH Online

