Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 15 April – Kerajaan mempergiat usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan diesel, termasuk taktik terbaharu menggunakan bot nelayan tempatan.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah segera telah diambil dengan menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lebih 100 stesen minyak berisiko tinggi, khususnya di kawasan sempadan.

“Langkah pertama ialah menempatkan pasukan keselamatan, khususnya pihak Polis Diraja Malaysia, di lebih 100 daripada 150 stesen minyak yang dikenalpasti berisiko tinggi yang berada di kawasan sempadan.

“Ini bagi memastikan sebarang aktiviti yang dipercayai melibatkan penyeludupan atau penyelewengan dapat dikekang”, katanya pada taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Langkah tersebut susulan pengesanan aktiviti mencurigakan termasuk penjualan bahan api yang luar biasa tinggi berbanding stesen lain di seluruh negara serta tidak sepadan dengan jumlah populasi setempat.

Selain penguatkuasaan, kerajaan turut meneliti semula mekanisme penyasaran subsidi diesel untuk sektor perikanan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara minggu depan.-Berita RTM