Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memastikan setiap keluarga di negeri ini mempunyai bekalan makanan asas mencukupi menerusi pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang memberi manfaat kepada lebih 800,000 rakyat berkelayakan tahun ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, skim bantuan itu diwujudkan sebagai inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan setiap keluarga sekurang-kurangnya mempunyai keperluan asas seperti beras, kopi, teh dan barangan dapur lain.

Katanya, dasar berkenaan digerakkan dengan matlamat memastikan setiap isi rumah di Sarawak mampu menyediakan makanan asas dan memastikan dapur sentiasa berasap.

“Kerajaan Sarawak mempunyai skim bantuan sendiri kerana kita mahu memastikan semua keluarga mempunyai bekalan makanan asas mencukupi.

Sekurang-kurangnya barangan seperti beras, kopi, teh dan k keperluan dapur lain mesti ada stok di setiap rumah,” katanya ketika melancarkan SKAS di Bazar Ramadan Stutong di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, pelaksanaan SKAS tahun ini membabitkan lebih 800,000 rakyat Sarawak yang berkelayakan berdasarkan data Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 1 2026.

Katanya, bantuan itu meliputi tiga kategori penerima iaitu isi rumah, warga emas dan bujang dengan kadar bantuan tahunan masing masing sebanyak RM950, RM500 dan RM300.

Katanya, kerajaan negeri turut meningkatkan peruntukan program berkenaan daripada RM480 juta tahun lalu kepada RM640 juta pada tahun ini bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat.

“Program ini berjalan dengan baik tahun lalu dan pada tahun ini kita menambah peruntukan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih meluas,” katanya.

Abang Johari berkata, penyaluran bantuan itu dilaksanakan secara berperingkat dengan pembayaran pertama bermula hari ini melalui aplikasi e dompet S Pay Global.

Katanya, pembayaran kedua dijadualkan pada 25 Mei ini sebelum sambutan Hari Gawai manakala pembayaran ketiga pada November bagi membantu persediaan persekolahan.

“Lebih 2200 pasar raya dan kedai runcit di seluruh Sarawak terlibat dalam pelaksanaan program berkenaan bagi membolehkan penerima membeli barangan keperluan asas menggunakan bantuan yang diberikan,” katanya.

Abang Johari berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu rakyat malah memberi kesan positif kepada sektor peruncitan tempatan.

“Apabila rakyat membeli barangan keperluan menggunakan bantuan ini, ia secara tidak langsung meningkatkan permintaan domestik dan menyuntik dana ke dalam sistem ekonomi tempatan.

“Ini memberi manfaat kepada perniagaan runcit dan pada masa sama membantu rakyat mendapatkan keperluan asas,” katanya.-BH Online