Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PERMATAN PAUH, 7 Mac –Golongan belia perlu diperkasakan melalui pendidikan, panduan jelas dan kesedaran bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan ideologi ekstremis yang dikaitkan dengan DAESH.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan peringatan keras berhubung ancaman itu, sekali gus menuntut kerjasama erat semua pihak agar landasan ilmu terus menjadi benteng utama negara.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil mudah terhadap keamanan yang dinikmati pada hari ini.

“Semalam Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataan mengenai kemunculan satu kelompok anak muda berusia 18 hingga 19 tahun yang terpengaruh dengan hasutan luar daripada DAESH untuk menubuhkan Islamic State, termasuk diajar cara membuat bom.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana, pertama, keadaan masih terkawal. Kedua, polis dan PDRM bertindak dengan cekap. Namun kita tidak boleh alpa dan cuai. Anak-anak kita mesti dididik dengan ilmu, penerangan, pencerahan dan kesedaran. Tanpa asas ilmu yang kukuh, mereka mudah dipengaruhi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Masjid Jamek Mengkuang Titi di Permatang Pauh

Perdana Menteri menegaskan bahawa kekurangan ilmu merupakan antara punca utama masyarakat mudah terpengaruh dengan hasutan.

Justeru, beliau mahu institusi masjid dan sekolah agama diperkasakan dengan elemen teknologi maklumat (IT) serta digital bagi melahirkan generasi yang berdaya saing dan berfikiran kritis.-Berita RTM