Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tiada sebarang tarikh rasmi ditetapkan bagi mewajibkan penggunaan aplikasi MyNIISe seperti yang tular di media sosial.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, penggunaan aplikasi itu tidak diwajibkan kepada semua pengguna kerana kerajaan masih mengekalkan pelbagai kaedah pelepasan imigresen sedia ada.

“Kerajaan masih lagi mengekalkan pelbagai kaedah pelepasan imigresen seperti penggunaan pasport fizikal di kaunter dan juga autogate termasuk penggunaan pengesanan biometrik pada masa akan datang bagi memastikan rakyat dan pengembara mempunyai pilihan yang sesuai dengan keperluan masing-masing.

“Pelaksanaan aplikasi My Border Pass pula adalah sebagai langkah sementara melalui pendekatan proof of concept (POC) bagi menangani kesesakan di pintu masuk utama negara, seiring dengan pembangunan MyNIISe,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Robert Lau Hui Yew di Dewan Negara, hari ini.

Tambah beliau, aplikasi MyNIISe merupakan sebahagian daripada ekosistem Imigresen Bersepadu Nasional yang dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan urusan imigresen serta mengurangkan kesesakan di pintu masuk utama negara.

KDN akan memaklumkan kepada orang awam melalui saluran rasmi sekiranya terdapat sebarang perubahan dasar pada masa hadapan.-Berita RTM