Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertingkatkan pendekatan strategi kepolisan berorientasikan
komuniti bagi menangani jenayah kecil dan jenayah harta benda di kawasan berkepadatan penduduk.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata usaha itu bertujuan mengukuhkan kawalan sosial, mengurangkan ruang berlakunya jenayah serta meningkatkan kepercayaan antara masyarakat dengan polis.

“Yang pertama, kita tekankan penglibatan dan kerjasama komuniti, seperti KRT, Sistem Rondaan Sukarela (SRS), persatuan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO), sekolah, pemimpin tempatan. Malah, kita ada program “Satu Masjid, Satu Polis” seperti PPS di sekolah.

“Yang kedua ialah strategi pencegahan berasaskan masalah. Masalahnya apa? Kawasan penduduk padat, misalnya ada lorong-lorong gelap. Ataupun berlaku kes dadah yang tinggi. Ataupun kes pengangguran yang tinggi. Itu semua masalah yang boleh mendorong kepada berlakunya jenayah. Jadi pihak polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, beliau berkata PDRM akan meningkatkan kehadiran polis atau omnipresent secara menyeluruh di kawasan berkenaan menerusi Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Unit Kereta Peronda (MPV) atau Unit Polis Pelancong.-Berita RTM