KOTA KINABALU : Seramai 596 calon mewakili individu atau parti bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, calon bebas merekodkan jumlah penyertaan tertinggi dengan 74 calon, diikuti Parti Warisan (WARISAN) dengan 73 calon, mewakili setiap DUN dipertandingkan.
Katanya, Parti Impian Sabah (PIS) pula menampilkan 72 calonnya, sementara Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) (55 calon); Parti Soladariti Tanah Airku (STAR)(46 calon); Barisan Nasional (45 calon); Perikatan Nasional (42 calon) dan 40 calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai hari penamaan calon bagi PRN Sabah ke-17 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramlan berkata, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pula akan meletakkan 25 calonnya, sementara Pakatan Harapan (22 calon); Parti Kebangsaan Sabah (20 calon); Parti Kerjasama Anak Negeri (17 calon); Parti Perpaduan Rakyat Sabah (16 calon) serta 14 calon dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Turut menyertai PRN kali ini katanya, tujuh calon dari Parti Rumpun Sabah (RUMPUN); Parti Maju Sabah (SAPP)(enam calon); masing-masing lima dari Parti Damai Sabah (SPP) dan Perjuangan Rakyat (PR) serta tiga calon, masing-masing dari Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (GAS), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).
“Masing-masing satu calon diwakili oleh Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Parti Bersatu Sasa Malaysia (BERSAMA) serta Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN),” katanya.
Bagi saingan mengikut penjuru pula, beliau berkata, satu DUN menyaksikan saingan 14 penjuru, diikuti empat DUN dengan 13 penjuru; masing-masing dua DUN (12 penjuru dan empat penjuru) serta enam DUN, menyaksikan saingan 11 penjuru.
Katanya, lapan DUN pula menyaksikan saingan lapan penjuru dan lima penjuru; sementara sembilan DUN (10 penjuru); masing-masing 10 DUN ( sembilan penjuru dan tujuh penjuru serta 13 DUN menyaksikan saingan enam penjuru.
Sementera itu, katanya tiada pencalonan oleh calon yang ditolak oleh pihaknya.
Hari penamaan calon berlangsung pagi tadi di 25 pusat penamaan calon yang dibuka SPR di seluruh negeri ini.-BH Online
