Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka dan tidak menghalang sekiranya MIC mahu meninggalkan gabungan itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO itu berkata, pendekatan itu selepas mengambil kira tiada paksaan terhadap parti komponen menyertai atau keluar daripada gabungan itu.

“Kita terbuka, dulu ada 14 parti komponen dalam BN dan tiada paksaan, sama ada untuk masuk atau keluar BN.

“Tentunya mereka (MIC) akan membuat keputusan bijak pada Perhimpunan Agung MIC bagi menentukan gabungan mana yang akan disertai asalkan mereka tidak menyesal di kemudian hari,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Industri Sukan ASEAN di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, mengenai keputusan sama ada parti itu kekal dengan BN atau sebaliknya, akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Agung MIC, 16 November depan.

Krisis dalaman antara MIC dan UMNO dilapor semakin memuncak selepas Vigneswaran melabel Ahmad Zahid sebagai penipu.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu merujuk kenyataan Ahmad Zahid mengenai kajian mendapati ahli MIC dan MCA tidak mahu parti mereka meninggalkan BN.

Vigneswaran dipetik berkata, Ahmad Zahid sepatutnya mendapatkan pandangan akar umbi parti itu mengenai faktor sokongan masyarakat Melayu, terutama di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang didakwa semakin merudum.

MIC dan MCA sedang menilai kemungkinan keluar daripada BN susulan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan mereka dalam politik nasional, terutama selepas UMNO yang diterajui Ahmad Zahid menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan.

Antara kebimbangan utama kedua-dua parti itu ialah faktor pembahagian kerusi pada pilihan raya yang memihak kepada parti penyandang dengan MCA kini memiliki dua kerusi Parlimen, manakala MIC hanya satu.

Berdasarkan formula perkongsian kerusi BN-PH, MCA dan MIC dijangka hanya meraih sebilangan kecil kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang.

Mengulas ketetapan MIC tidak mengundangnya pada Mesyuarat Agung parti itu, Ahmad Zahid berkata, ia adalah perkara biasa dan bukan kali pertama berlaku.

“Ini bukan pertama kali (MIC tidak mengundang Pengerusi BN) kerana mesyuarat agung kali ini mereka mahu menyelesaikan masalah dalaman.

“Tentunya kita (BN) beri ruang seluas-luasnya untuk mereka menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.-BH Online