Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti cadangan menambah kuota subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada pemandu e-hailing, p-hailing, teksi dan pengusaha bot nelayan di Sabah, Sarawak serta beberapa kawasan Semenanjung.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Kewangan meneliti perkara itu dengan segera bagi memastikan golongan berkenaan turut menerima kuota tambahan subsidi untuk tujuan aktiviti mereka.

“Selain itu, isu membabitkan rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu Singapura turut diambil perhatian. 

“Kementerian Pengangkutan akan mewujudkan mekanisme pendaftaran khusus bagi memastikan mereka juga dapat menikmati subsidi BUDI95,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.

Mulai semalam, kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak, menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter menerusi BUDI95.

Semua rakyat yang layak menerima siling bulanan RON95 bersubsidi hingga300 liter sebulan. Penetapan berkenaan adalah berdasarkan dapatan kajian oleh Jabatan Perangkaan (DOSM).

Peringkat ketiga pelaksanaan BUDI95 ini menyusul kejayaan peringkat pertama pada 27 September lalu, membabitkan kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera.

Peringkat kedua pula membabitkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada golongan B40.null

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan mengeluarkan kenyataan penuh berhubung status pelaksanaan program BUDI95 pada petang ini.

“Perdana Menteri juga meminta maklum balas berkaitan beberapa isu tular termasuk dakwaan gangguan sistem di sebuah stesen minyak PETRON di Pasir Gudang. 

“Kementerian Kewangan telah mengesahkan masalah itu berpunca daripada peranti access point atau WiFi di stesen berkenaan, bukan kerana gangguan internet atau syarikat telekomunikasi.

“Individu yang mengalami kerugian atau kesulitan boleh berhubung terus dengan pihak PETRON untuk bantuan,” katanya.

Fahmi turut menjelaskan bahawa kuota baharu sebanyak 300 liter bagi bulan Oktober sudah dikreditkan semula mulai hari ini kepada semua penerima subsidi berkenaan.

Katanya, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi, Kementerian Kewangan dan syarikat minyak akan segera mengeluarkan penafian atau penjelasan sekiranya wujud sebarang maklumat tidak tepat berkaitan program itu.

Mengenai laporan berhubung isu penawaran bekalan RON95 di Jerantut, Pahang, Fahmi berkata perkara itu akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) untuk tindakan lanjut.-BH Online