Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat, semalam membuktikan kerajaan proaktif dalam membela suara dan hak pekerja sektor gig di negara ini.

Ia juga menjadi detik penting untuk mengiktiraf lebih 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara melalui ekosistem ekonomi gig lebih adil, progresif dan inklusif.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata RUU itu memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu definisi pekerja gig, pendapatan atau kadar bayaran, mekanisme penyelesaian pertikaian dan perlindungan sosial.null

“Melalui RUU ini, adanya mekanisme kilanan (tidak puas hati), di mana kalau berlaku pertikaian, kita ada proses formal (untuk menyelesaikannya),” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen, semalam.

Langkah itu menyaksikan Malaysia bakal menyertai 15 negara terawal di dunia yang memberikan definisi jelas kepada pekerja gig.

“Begitu juga isu mengenai bayaran, ia antara aduan utama pekerja gig ini. Mereka (sebelum ini) tidak ada apa-apa hak dalam penentuan isu kadar bayaran.

“Tetapi dengan adanya RUU ini, pekerja dan majikan sama-sama akan ada hak menentukan hala tuju mengenai bayaran, malah dilindungi dari segi keselamatan sosial, melalui jaminan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.null

Beliau berkata, RUU Pekerja Gig 2025 adalah undang-undang baharu dan yang pertama diwujudkan bagi menjaga kebajikan pekerja sektor gig di negara ini.

“Melalui mandat Perdana Menteri pada Mac 2024 kepada Kementerian Sumber Manusia untuk melihat mekanisme perlindungan pekerja gig, maka hari ini (semalam) kita berjaya membacakan bacaan pertama RUU Pekerja Gig 2025.

“RUU ini melalui pelbagai sesi libat urus merentas kementerian dan kerajaan negeri khususnya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Malah, kita juga melalui hampir 40 sesi libat urus dengan pemegang taruh, syarikat platform, wakil pekerja, wakil majikan, persatuan pekerja gig, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), ahli akademik dan sebagainya,” katanya pada sidang media mengenai RUU Pekerja Gig 2025 di Pusat Media Parlimen, di sini semalam.

Sejak 22 Oktober sehingga 7 Ogos lalu, Sim berkata, kementerian itu menganjurkan sebanyak 37 sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh antaranya 14 sesi bersama kementerian, agensi serta kerajaan Sabah dan Sarawak, 13 sesi bersama pekerja gig, penyedia platform dan bukan platform dan tujuh sesi bersama pemegang taruh serta pemain industri di enam zon utama iaitu di utara, tengah, selatan, pantai timur, Sabah dan Sarawak.

Sesi libat urus

Katanya, lebih 4,000 pemegang taruh menyertai sesi libat urus untuk menghasilkan RUU berkenaan, malah kementerian turut menerima lebih 500 maklum balas secara dalam talian dengan kesemuanya diambil kira dalam proses penggubalan RUU berkenaan.

Mengulas lanjut, Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, RUU terbabit merangkumi 10 bahagian dengan 112 fasal.

Sehubungan itu, Sim berharap semua pihak dapat menerima baik RUU bersejarah itu dalam usaha kerajaan untuk membela nasib pekerja gig di negara ini dan demi menjaga kebajikan ahli keluarga mereka.

Katanya, keringat pekerja gig yang berjuang setiap hari untuk mencari rezeki halal demi keluarga tidak seharusnya dipandang enteng, justeru RUU ini menjadi sandaran untuk mengubah nasib, masa depan serta menyediakan ekosistem ekonomi gig lebih holistik dan terjamin untuk mereka.-BH Online