Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura sepakat memberi perhatian berkaitan usaha memastikan keselamatan infrastruktur bawah laut termasuk rangkaian bekalan tenaga, yang dikenal pasti boleh mendatangkan cabaran keselamatan sekiranya tidak ditangani.

Kesepakatan itu dicapai dalam pertemuan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Chan Chun Sing, di Wisma Pertahanan, di sini, sempena lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, isu keselamatan infrastruktur bawah laut menjadi perhatian kerana ia berfungsi sebagai penghubung utama negara dalam aspek bekalan tenaga termasuk tenaga baharu.

“Keselamatan infrastruktur bawah laut memerlukan perhatian serius kerana ia menghubungkan negara dari aspek bekalan tenaga, termasuk tenaga baharu, dan jika kita tidak lakukan apa-apa, ia boleh menimbulkan cabaran keselamatan.

“Kita juga berbincang mengenai usaha untuk berkongsi pengalaman dalam cabaran keselamatan siber serta penggunaan teknologi baharu seperti teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) dan dron,” katanya pada sidang media selepas pertemuan itu.

Beliau berkata, Malaysia dan Singapura turut menekankan kepentingan ASEAN mengekalkan keamanan dan kestabilan, termasuk meredakan konflik di rantau ini.

“Konflik Thailand dan Kemboja perlu dikawal. Gencatan senjata yang dipersetujui mesti dilaksanakan, dan jika boleh penyelesaian segera dapat dicapai antara kedua-dua negara ini,” katanya.

Pada kunjungan hormat itu, kedua-dua menteri menyaksikan majlis menandatangani kerjasama strategik bagi memperkukuh keupayaan penyelamatan kecemasan kapal selam.

Dokumen kerjasama ‘Pengaturan Antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Republik Singapura untuk Sokongan dan Kerjasama Bersama Kapal Selam’ ditandangani oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Laut Republik Singapura, Laksamana Madya Sean Wat.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.-BH Online