Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan tiada layan dua darjat, sekiranya ada ibu bapa yang menggunakan ‘orang dalam’ atau orang kenamaan (VVIP) untuk mempengaruhi keputusan pengurusan tertinggi. 

Ini membabitkan rayuan pelajar dibuang Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kerana terbabit pelanggaran disiplin seperti kes buli.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan tidak akan melayan dengan siapa saja yang mereka guna sebagai ‘kabel’ termasuk dalam kalangan orang politik.

Jika terdapat mana-mana waris yang mahu menggunakan ‘kabel’ untuk mempengaruhi keputusan, beliau menegaskan pendiriannya langsung tidak tergugat dengan tindakan seperti itu.

“Saya sudah beri amaran siap-siap kepada sesiapa saja, sebarang rayuan tidak akan dilayan. 

“Ia tidak kira datangnya daripada sesiapa sahaja hatta orang besar, VVIP atau orang politik. You Touch You Go,” katanya kepada BH semalam.null

Terima surat rayuan

Ditanya sama ada beliau pernah menerima surat rayuan daripada orang kenamaan supaya menerima pelajar terbabit buli kembali meneruskan pengajian di MRSM, Asyraf Wajdi berkata, tiada setakat ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui permintaan daripada ibu bapa atau waris untuk bertemu dengannya bagi merayu supaya anak mereka terbabit dengan kesalahan membuli dapat diterima semula. 

Katanya, beliau memilih untuk tidak melayan permintaan waris berkenaan untuk berjumpa.

“Tak ada, sebab saya sudah bagi amaran siap-siap yang saya tidak mahu jumpa pun (walaupun) ada yang minta nak jumpa,” katanya. 

Sebelum ini, Asyraf Wajdi pernah mendedahkan beliau termasuk MARA menerima ancaman saman daripada ibu bapa pelajar dibuang MRSM kerana kes buli. 

Ekoran itu, beliau bersedia berdepan tindakan undang-undang daripada ibu bapa pelajar yang dibuang MRSM.-BH Online