Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang bertujuan memberi perlindungan dan mengiktiraf peranan pekerja sektor berkenaan, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika membentangkan RUU berkenaan berkata, bacaan kali kedua dan ketiga akan dibuat pada persidangan kali ini.

RUU Pekerja Gig 2025 itu dijangka mewajibkan semua penyedia platform membuat potongan caruman PERKESO daripada setiap transaksi pendapatan seorang pekerja gig.

Berdasarkan naskhah biru, RUU itu antara lain bertujuan mengadakan peruntukan bagi terma dan syarat perlu dinyatakan dalam perjanjian perkhidmatan bagi maksud melindungi hak pekerja gig.

Fasal 4 bertujuan mengadakan peruntukan bagi pengecualian perjanjian perkhidmatan sedia ada untuk memastikan mana-mana perjanjian perkhidmatan dibuat antara entiti kontrak dengan pekerja gig sebelum permulaan kuat kuasa akta dicadangkan yang masih mengikat pihak secara sah, untuk terus berkuat kuasa dan hendaklah tertakluk dan berhak kepada faedah di bawah akta dicadangkan.

Fasal 5 bertujuan mengadakan peruntukan bahawa mana-mana terma dan syarat tidak memihak kepada pekerja gig di bawah perjanjian perkhidmatan hendaklah terbatal. 

Fasal 6 pula bertujuan mengadakan peruntukan mana-mana terma dan syarat lebih memihak kepada pekerja gig, berbanding mana-mana terma dan syarat di bawah akta dicadangkan perlu menjadi sah. 

Fasal 7 RUU itu bertujuan memperuntukkan jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan di bawah akta dicadangkan, perkara itu tidak dihalang daripada diperuntukkan dalam perjanjian perkhidmatan atau dirundingkan antara entiti kontrak dengan pekerja gig.

Bahagian III RUU itu adalah berkaitan peruntukan berhubung pekerja gig dan hak dilindungi di bawah akta dicadangkan dengan Fasal 8 bertujuan mengadakan peruntukan hak pekerja gig, termasuk hak tambahan jika entiti kontrak adalah penyedia platform.

Fasal 9 bertujuan melarang entiti kontrak daripada menghalang hak pekerja gig mempunyai perjanjian dengan pihak lain, mendiskriminasi mana-mana pekerja gig berkenaan dengan perjanjian perkhidmatan atau menamatkan perjanjian perkhidmatan secara tidak adil.

Sementara itu, Bahagian IV RUU berkenaan adalah berkaitan mekanisme kilanan dalaman dan proses pendamaian di bawah akta dicadangkan dengan Fasal 17 bertujuan mengadakan peruntukan bagi mekanisme kilanan dalaman yang perlu disediakan entiti kontrak selain seorang individu atau pemunya tunggal.

Bahagian V RUU itu pula berkaitan Tribunal Pekerja Gig dan perkara berkaitan lain dengan Fasal 24 bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan Tribunal Pekerja Gig dan Fasal 25 bagi mewujudkan peruntukan bagi keanggotaan tribunal, terma jawatan dan elaun.

RUU berkenaan akan membabitkan perbelanjaan wang kerajaan tambahan yang jumlahnya belum dapat ditentukan ketika ini.-BH Online