PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan Pemilihan PKR 2025 sama sekali tidak akan menyebabkan berlakunya rombakan Kabinet.
Perdana Menteri bagaimanapun berkata, beliau tidak akan menghalang jika ada mana-mana pimpinan berhasrat melepaskan jawatan dalam kerajaan disebabkan pemilihan parti berkenaan.
“(Pemilihan parti) ini pertandingan di antara sahabat karib dan kawan-kawan setia, tidak timbul sama sekali perubahan Jemaah Menteri.
“Saya tidak tahu (pasal rombakan Kabinet) tapi kita tidak boleh halang orang punya cita-cita (ingin lepaskan jawatan dalam Kabinet jika tewas pemilihan)… kalau tanya saya, tiada rencana sama sekali untuk buat apa-apa pun rombakan (Kabinet),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang bersedia meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti bulan ini.
Yang turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan Berita & Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima, Jasbant Singh; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan NCA Media Prima dan Pengarang Kumpulan New Straits Times, Farrah Naz Abd Karim; Pengarang Kumpulan NCA Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Zulkifli Jalil dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.-BH Online