GEORGE TOWN: Atlet snuker dan biliard khususnya dari Pulau Pinang diharap dapat menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara pada temasya Sukan SEA 2027.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, negeri itu sememangnya mempunyai atlet cemerlang dalam kedua-dua acara sukan berkenaan dan pembukaan Akademi Biliard dan Snuker Wilayah Utara di Bayan Baru diyakini mampu melahirkan lebih ramai jaguh masa depan.
“Untuk Sukan SEA, kita memang menaruh harapan supaya atlet dari negeri ini dapat membantu negara meraih pingat emas,” katanya pada sidang media selepas merasmikan akademi berkenaan, hari ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Biliard dan Snuker negeri Datuk Michael Tan Cheong Heng serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Hannah berkata, Pulau Pinang turut menawarkan diri sebagai tuan rumah bagi Sukan SEA 2027 dan berharap sukan snuker serta biliard dapat dipertandingkan di negeri itu, tertakluk kepada keputusan jawatankuasa penganjur.
Mengulas pembangunan sukan terbabit, beliau berkata, penubuhan akademi itu membolehkan atlet menjalani latihan secara konsisten tanpa perlu berpindah lokasi, sekali gus membantu pembangunan bakat dari peringkat akar umbi.
Ketika ini, hanya tiga atlet snuker dan biliard negara disenaraikan dalam Program Podium Berfasa, namun anggaran menunjukkan terdapat kira-kira 300,000 pemain aktif di seluruh negara.
Mengenai cadangan membuka lebih banyak akademi di negeri lain, Hannah berkata, perkara itu bergantung kepada komitmen kerajaan negeri dan keaktifan persatuan sukan di peringkat negeri masing-masing.-BH Online