Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan maklumat mengenai peningkatan ketara kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata hubungan sedemikian menjadi keutamaan pihaknya sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan atau meneliti kaedah bersesuaian menanganinya.

“KPWKM bekerjasama dengan PDRM untuk mendapatkan maklumat dan data sahih berhubung perkara ini sebelum keluarkan kenyataan kerana apa yang kami keluarkan adalah berdasarkan data siasatan pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPWKM di sini, hari ini.

Nancy diminta mengulas laporan sebelum ini berhubung pendedahan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengenai jumlah kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan yang meningkat dengan ketara setiap tahun.

Mohd Yusoff dilaporkan berkata, sebanyak 252 kes direkodkan pada 2024 berbanding 206 kes tahun sebelunya, meningkat 22.3 peratus.

Lebih membimbangkan, ada dalam kalangan pelaku adalah remaja berusia seawal 10 tahun.-BH Online