Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PASIR GUDANG: Malaysia akan terus mempertahankan kawasan serta kedaulatan negara, walaupun Filipina meluluskan akta baharu yang menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah, selain melanggar sempadan maritim negeri berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Malaysia juga akan kekal mewujudkan ‘show of presence’ (kehadiran) selain melaksanakan ‘Maritime Domain Awareness’ (MDA) di kawasan sempadan perairan negara, mengikut undang-undang antarabangsa.

Katanya, rondaan bersepadu yang dilaksanakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) juga akan diteruskan.null

“Namun Malaysia juga kekal menggunakan pendekatan utama menerusi diplomasi. Selagi kita boleh berunding, berbincang dan bercakap dengan negara jiran, kita akan guna pendekatan diplomasi.

“Saya percaya keperluan untuk mengeluarkan peta baharu bergantung kepada jika kita rasa ada perubahan pada peta lama.

“Peta kita tetap peta kita. Kita memang tak ubah (peta) tetapi yang ubah mereka. Dari semasa ke semasa mereka ubah peta sehingga termasuk pula kawasan kita.

“Malaysia memang tak ada nak ubah peta, kita hanya ubah peta bila kawasan baharu nak dimasukkan. Bagaimanapun, kita tetap akan pertahankan kawasan dan kedaulatan kita,” katanya.null

Beliau berkata demikian pada Majlis Serahan Zakat Wakalah Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Azizul Azily Ahmad.

Mohamed Khaled diminta mengulas saranan pakar undang-undang maritim antarabangsa supaya kerajaan mengeluarkan peta baharu memperjelaskan sempadan maritim yang menjadi kawasan kedaulatan negara di Laut China Selatan.

Ini kerana kali terakhir peta maritim Malaysia dikeluarkan adalah pada 1979, sedangkan sejak itu hingga kini, sudah banyak perubahan pada persempadanan dan tuntutan maritim yang berlaku.

Khamis lalu, Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina susulan negara itu meluluskan dua akta baharu yang menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah, selain melanggar sempadan maritim negeri berkenaan.

Minggu lalu, Presiden Marcos Jr dilapor menandatangani dua undang-undang baharu itu bertujuan memperkukuh tuntutan negara itu ke atas Laut China Selatan yang dipertikaikan dengan mentakrifkan zon maritim dan laluan laut.

Dua undang-undang baharu itu menuntut hak maritim serta kedaulatan ke atas kawasan dipertikaikan di Laut China Selatan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, berkata akta baharu itu juga menetapkan persempadanan baharu Filipina yang melangkaui peta Malaysia yang dibuat pada 1979.

Mengulas mengenai saranan pakar maritim supaya Malaysia melakukan rondaan di kawasan perairan milik negara, meskipun ada negara lain yang menuntut kawasan terbabit sebagai milik mereka, Mohamed Khaled berkata, rondaan sememangnya dilakukan secara bersepadu antara TUDM dan Maritim Malaysia.

Katanya, rondaan di perairan negara dilakukan berasaskan kepada keupayaan dan aset-aset negara dengan dibantu radar.

“Kadang-kadang memang tidak nampak ada di situ, tapi kita memang ada. Setiap kali jika ada kapal negara asing masuk, maka kita akan hantar aset termasuk kapal peronda kita.

“Kita ada kesedaran apa yang berlaku dalam kawasan di bawah kedaulatan kita.

“Dalam masa sama, kita tunjukkan kehadiran ‘show of presence’ dalam kawasan kita dan keduanya MDA juga turut dilaksana di semua kawasan di bawah kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga sentiasa patuh kepada syarat undang-undang antarabangsa dalam menjaga kawasan dan kedaulatan negara.

“Dari semasa ke semasa kita juga lakukan protes bantahan kepada negara yang telah masuk ke kawasan kita namun ia mengikut undang-undang antarabangsa yang ditetapkan,” katanya.-BH Online