Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) melaksanakan beberapa langkah drastik bagi mencegah berlaku kes buli di Akademi Latihan Ketenteraaan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan mengasingkan pelajar Tahun 1 dengan pelajar senior. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengasingan itu membabitkan tempat tinggal dengan membezakan bilik serta aras bilik penginapan serta pengasingan ‘roll call’ antara pelajar senior dan junior.

Menurutnya, pengasingan bilik penginapan antara pelajar senior dan pelajar tahun 1 itu dilaksanakan bermula Januari lalu manakala pengasingan aras tempat tinggal dan ‘roll call’ dimulakan pada Oktober lalu. 

“Kita juga memasang kamera litar tertutup di semua blok penginapan dan jumlah CCTV akan ditambah

“Kita juga akan memberikan hukuman yang setimpal dan semaksimum mungkin sebagai satu cara memupuk kesedaran dan juga satu tindakan mencegah (kejadian buli) daripada berlaku. 

“Seperti kesalahan jenayah di luar, walaupun hukumannya sangat berat namun ia masih juga berlaku. Namun kita cuba untuk meningkatkan lagi kesedaran para kadet ini supaya tidak melakukan perkara yang tidak diingini,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata pihaknya akan meneliti sebarang kelemahan yang mungkin wujud di pihak pentadbiran ALK yang di bawah bidang kuasa MINDEF. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis Sambutan Hari Integriti 2024 Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak. 

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan adalah tidak wajar melabelkan UPNM dengan pelbagai gelaran susulan beberapa kes buli membabitkan pelajar ALK yang menjalani pengajian di universiti terbabit.

Beliau berkata, kes buli berkenaan berlaku dan membabitkan penuntut ALK, bukannya berlaku di kawasan UPNM sebaliknya di kawasan penginapan dan latihan kadet ALK yang terletak berasingan dari kampus UPNM. 

Jelasnya, keseluruhan pelajar UPNM adalah seramai 4,200 dengan 957 daripadanya atau satu per empat adalah kadet ALK yang pengajian mereka ditaja oleh MINDEF dan selebihnya adalah pelajar awam.-BH Online