Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 12 November- Kaedah harga dua peringkat dikenal pasti sebagai langkah terbaik dalam pelaksanaan mekanisme penyasaran subsidi bahan api RON95, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Walaupun kaedah pengesahan kelayakan menggunakan kad pengenalan masih belum sempurna, beliau menegaskan kaedah itu adalah paling sesuai dalam mengekang kenaikan harga barang yang mendadak dan inflasi.

“Rata-rata ahli ekonomi menyatakan bahawa bayaran tunai adalah lebih baik kerana tidak membabitkan operasi di stesen minyak, namun kerajaan melihat risiko kenaikan harga barang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat di Dewan Rakyat.

Rafizi turut menjelaskan bahawa walaupun kaedah bayaran tunai lebih mudah untuk dilaksanakan, ia berisiko menyebabkan kenaikan harga barang.

Beliau yakin pelaksanaan kaedah ‘harga dua peringkat’ boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.

Mengenai penentuan penilaian Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW), Rafizi memaklumkan ia turut mengambil kira anggaran kos yang lebih besar selain perbelanjaan asas.

Penetapan nilai ambang perbelanjaan isi rumah itu bertujuan memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang bermaruah.

“Pelaksanaan penyasaran subsidi ini melibatkan dua bahagian utama. Pertama, penentuan golongan 85% yang layak berdasarkan kedudukan sosio-ekonomi isi rumah yang mengambil kira pendapatan bersih, tanggungan, dan kos sara hidup berdasarkan lokasi,” jelasnya.

Kaedah penentuan tingkat sosioekonomi tersebut seterusnya akan menentukan kelayakan isi rumah dalam menikmati subsidi bahan api RON95.-BH Online