Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan bahawa enam projek telah dikenalpasti untuk dilaksanakan sehingga tahun 2040 yang juga adalah sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga.
“Inisiatif Kecekapan Tenaga akan mengurangkan intensiti penggunaan tenaga serta jejak karbon daripada pengguna elektrik dan dilaksanakan menerusi pembentangan Rang Undang-Undang Kecekapan Tenaga serta pelaksanaan audit tenaga bagi sektor pengangkutan rel di bawah Geran Audit Tenaga Bersyarat 2.0.
“Projek Zon Tenaga Boleh Baharu dijangka akan meningkatkan kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik dan dilaksanakan menerusi empat (4) kaedah iaitu pembangunan zon bersepadu berdasarkan konsep secara “self-reliance & self contained”, pembangunan taman solar di lima (5) lokasi di seluruh negara, pembangunan projek solar terapung di empangan hidroelektrik milik TNB dan pelaksanaan “solar leasing” di bumbung rumah kediaman.
“Projek Penstoran Tenaga dijangka akan meningkatkan keanjalan sistem grid nasional bagi membolehkan kemasukan kapasiti TBB yang lebih tinggi serta kendalian sistem penjanaan teragih yang lebih teratur. Projek ini akan dilaksanakan menerusi pembangunan sistem penstoran tenaga berskala utiliti.
“Projek Hidrogen untuk Pembekalan Elektrik pula dijangka meneroka teknologi penjanaan elektrik rendah karbon alternatif dan dilaksanakan menerusi penerapan teknologi pembakaran bahan api campuran hidrogen dan amonia di loji-loji jana kuasa arang batu bagi mengurangkan pembebasan gas rumah hijau.
“Inisiatif Pengwujudan Permintaan Biojisim dijangka akan dapat meningkatkan kapasiti TBB daripada sumber biojisim dan dilaksanakan menerusi pembangunan loji jana kuasa berpusat di kluster biojisim dan aplikasi teknologi pembakaran bahan api campuran biojisim di loji jana kuasa arang batu.
“Inisiatif Mobiliti Masa Depan akan mengurangkan jejak karbon sektor pengangkutan dan dilaksanakan menerusi peningkatan pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik di sepanjang lebuhraya dan kawasan komersial yang dikenal pasti; pembangunan stesen pengisian semula hidrogen; elektrifikasi pengangkutan awam; dan pemasangan sistem solar bagi menjana elektrik untuk kegunaan keperluan “non-traction operation” pengoperasi sistem pengangkutan rel.”
Tiga hari yang lalu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga.