Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Gelombang biru merah memenuhi Gombak hari ini apabila pemimpin utama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bertembung dengan Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya enam negeri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi calon-calon PH dan BN bagi melawan calon PN yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Gabungan penyokong dan calon dan kedua-dua parti itu berarak ke Pusat Penamaan Calon di Dewan SMK Sungai Pusu di Jalan Gombak selepas berkumpul di jambatan Sungai Chinchin seawal pukul 7 pagi tadi.

Turut berarak bersama Anwar ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor serta kepemimpinan tinggi parti PKR dan Umno.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang berpakaian baju Melayu merah tua hari ini mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Sungai Tua.

Pengerusi PH Selangor itu berdepan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin yang merupakan Setiausaha Dewan Pemuda Pas.

Penyokong Kerajaan Perpaduan juga berarak mengiringi calon DUN Gombak Setia, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin yang mewakili BN.

Pengerusi BN Selangor itu bakal bertembung dengan calon PN, Muhammad Hilman Idham yang akan mempertahankan kerusi Gombak Setia.

Hilman yang dulunya adalah Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR menang atas tiket PH pada PRU14 tetapi bersama Azmin meninggalkan PKR dan kemudiannya menyertai Bersatu.

Turut diraikan ialah calon DUN Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli yang merupakan Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar. Beliau akan berdepan dengan Azmin.