Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menyedari hakikat minat pelajar terhadap bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) semakin berkurangan, Perdana Menteri mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Chang Lih Kang supaya segera menyenaraikan 100 saintis bioteknologi untuk dihantar ke 100 sekolah untuk program menarik minat pelajar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu laporan mengenai perkara itu dihantar kepadanya dalam tempoh dua minggu.

“Saya maklum kepada Chang menjalin kerjasama lebih erat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya pesatkan program dan tingkatkan minat anak-anak muda dalam STEM berbanding sebelum ini. 

“Kebimbangan saya adalah kita sebutkan dalam bidang digitalisasi, kecerdasan buatan (AI) dan bioekonomi untuk bagaimana boleh pastikan pendekatan kita diperluaskan kepada rakyat.

“Jadi bolehlah syarikat bioteknologi, agensi dan kementerian… sebulan sekali, dua tiga jam turun ke sekolah menengah dan beri sedikit pendedahan,” katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Bioekonomi Kebangsaan bertemakan ‘Bioekonomi Untuk Semua’, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Mosti Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim.

Anwar berkata, pihak yang berkaitan juga diminta supaya berfungsi sebagai pemangkin untuk pertumbuhan ekosistem yang boleh dilebarkan dalam sudut bioteknologi dan bioekonomi.

“Sangat penting kita berikan pendedahan kepada pelajar terutama sekolah pinggir bandar dan luar bandar untuk melonjakkan minat.

“Sebab saya ada sebut kurangnya minat mengenai STEM (dalam kalangan pelajar sekolah).

“Tetapi apabila ada pencerahan daripada saintis kita pilih untuk turun ke sekolah dan universiti supaya anak-anak akan kagum.

“Atau daripada syarikat yang berjaya seperti Bionexus. Itu dengan sendirinya akan melonjakkan minat dan dapat menyampaikan sehingga sampai ke peringkat bawah. Jangan pandang ringan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, merakyatkan bioekonomi juga selari intipati Ekonomi Madani mendapatkan pendekatan lebih inklusif.

Perdana Menteri berkata, semua pihak mesti melangkau dengan tahap kecepatan dan kepesatan untuk mencapai satu keadaan yang lebih baik kerana seluruh prasarana sudah ada di negara ini.-Harian Metro Online