JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) akan menumpukan kepada usaha menyantuni isu rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) tanpa menyerang peribadi pihak lawan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jentera parti di semua peringkat sudah diingatkan supaya memberi fokus kepada penyelesaian isu rakyat serta menawarkan agenda yang lebih baik kepada pengundi.
Beliau menegaskan BN tidak akan memulakan sebarang serangan terhadap mana-mana individu atau parti politik, sebaliknya hanya akan memberikan penjelasan sekiranya diserang.
“Kita tidak akan mengambil pendekatan menyerang sesiapa atau mana-mana parti politik. Seboleh mungkin, saya telah mengingatkan jentera parti di peringkat nasional, Johor dan negeri-negeri yang akan menghadapi PRN supaya mengambil pendekatan berbeza dengan menyantuni isu rakyat serta menawarkan agenda yang lebih baik kepada mereka.
“Seboleh mungkin kita tidak menyerang mana-mana pihak. Kita hanya akan menjawab jika diserang, tetapi bukan untuk menyerang mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid diminta mengulas tindakan sesetengah pihak yang dilihat sudah mula berkempen menjelang PRN dengan melancarkan serangan peribadi terhadap individu tertentu.
Antara yang dilihat sering berbalas kenyataan berunsur sindiran, termasuk menyentuh aspek peribadi dan fizikal individu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi PRN Johor pada 11 Julai depan, manakala PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
Tempoh berkempen bagi kedua-dua pilihan raya negeri itu akan berlangsung selama 14 hari. – BH Online

