SEGAMAT: Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM10 juta bagi program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) kepada kira-kira 1,300 anggota tentera yang akan melalui fasa peralihan dengan bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia bertujuan memberi kesinambungan hidup kepada anggota yang bakal menamatkan perkhidmatan.
Beliau berkata kebanyakan anggota tentera menyertai pasukan dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Apabila bersara, mereka masih mampu menyumbang kepada kemajuan negara dan inisiatif adalah strategik Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengiktiraf pengalaman ketenteraan sebagai kelayakan akademik.
“Kita juga sedar bahawa kelebihan menjadi anggota ialah mereka berpencen, tetapi kita mahu terjemahkan apa yang dilalui oleh anggota sebelum ini apabila keluar daripada perkhidmatan.
“Mereka hanya ada SPM dan ini menyebabkan industri tidak mahu menerima khidmat mereka. Pada masa sama, anggota juga terpaksa bersaing dengan ramai yang mempunyai kelayakan lebih tinggi.
“Jadi melalui WBL ini, mereka memiliki persamaan pengiktirafan yang diberi secara formal oleh universiti.
“Contohnya jika dia tukang masak berpengalaman selama 20 tahun, dia boleh mendapat Diploma Kulinari tanpa perlu mengambil peperiksaan yang mana hanya dinilai oleh universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke Rejimen ke-4 Artileri Diraja Kem Segamat, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, Setiausaha Bahagian Pembangunan KEMENTAH, Hassan Nordin dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jenaral Sani S Omar.
Antara bidang yang ditawarkan menerusi WBL ialah Diploma Seni Kulinari, Diploma Pengurusan Hotel, dan pelbagai bidang teknikal.
Melalui WBL ia membantu anggota tentera mendapatkan pekerjaan yang lebih baik di sektor awam atau swasta melalui pentauliahan kemahiran.-BH Online
