Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

IPOH: Perak akan meminda Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 bagi meningkatkan hukuman terhadap kes jenayah berkaitan akidah dan penyebaran ajaran sesat. 

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim, berkata kerajaan negeri juga akan menggubal enakmen berkaitan pengamalan tarekat tasawuf. 

Cadangan penggubalan Enakmen Jenayah Syariah itu akan dibawa ke persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 26 Jun ini bagi meneliti kesesuaiannya dengan zaman ini.

Katanya, terdapat peruntukan hukuman dalam enakmen berkenaan yang sudah tidak releven dengan keadaan semasa seperti denda maksimum RM3,000 bagi kesalahan berkaitan akidah atau ajaran menyeleweng.

“Bagi enakmen tarekat pula, Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) sedang dalam proses merangka draf supaya sejajar dengan enakmen sama di Negeri Sembilan,” katanya. 

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Latihan Sukarelawan Masjid Daerah Kinta anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Dewan Saidina Omar, Institut Tadbiran Islam (INTIM) di sini hari ini. 

Hadir sama Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid. 

Katanya lagi, tujuan pindaan itu bukan untuk menghukum secara berlebihan sebaliknya bagi memastikan hukuman yang dikenakan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan selain selari peredaran masa.

Dalam perkembangan lain, Harith Fadzilah berkata semua masjid di bawah JAIPk diseru agar meraikan amalan serta menyokong sebarang gerakan memupuk aktiviti sukarelawan dalam memastikan masjid memainkan fungsi sebagai pusat pembangunan masyarakat. – BH Online