Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencabar pengurusan tertinggi RISDA untuk meningkatkan pencapaian melebihi 100 peratus berbanding tahun lalu.
Beliau berkata, walaupun RISDA pada tahun lalu sudah berjaya mencatat keuntungan tinggi, namun pencapaian itu harus dipertingkatkan dalam tempoh setahun ini.
Katanya, RISDA juga perlu dapat melaksanakan perubahan atau ‘game changer’ supaya setiap pekebun getah kecil mendapat manfaat secara langsung daripada keuntungan itu.
“Minggu lepas saya umumkan kertas Jemaah Menteri dan saya ucapkan tahniah kepada pengurusan terdahulu kerana RISDA mencatat keuntungan.
“Keuntungan ini disumbangkan oleh anak-anak syarikat RISDA dan harus dinikmati oleh pekebun kecil melalui pelbagai program baharu yang dilakukan.
“Oleh itu saya minta Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang baharu untuk duduk bersama merencana pembaharuan dan ‘game changer’ yang perlu dilakukan RISDA,” katanya dalam ucapan pada Majlis Aspresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA Tahun 2023.
Ahmad Zahir turut menyarankan, RISDA tidak bertindak secara bersendirian sebaliknya terus bekerjasama dengan agensi dan kementerian lain untuk menghasilkan produk dan pelaburan yang menguntungkan.
“Dahulu negara kita nombor satu dalam industri getah dunia dan kini (kedudukan) sudah diambil orang, mungkin kerana kebun kecil kita sudah menua.
“Oleh demikian, RISDA perlu memperkenalkan teknologi bukan sekadar dalam penorehan getah sahaja malah lebih lagi.
“Justeru, saya berikan tempoh satu tahun ini kepada pengurus besar RISDA, bukan sahaja mencari keuntungan malah keberhasilan kepada pekebun kecil untuk dimanfaatkan. Ia tidak mustahil dilakukan dengan mencari pelbagai pendekatan dan bukan sekadar konvensional sahaja,” katanya.
Dalam program itu, seramai 640 pelajar yang mengikuti Program Tuisyen Rakyat RISDA mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan majoriti mencapai keputusan 5A ke atas manakala dua pelajar mencatat keputusan 12A, 19 (11A) dan 17 (10A).
Kata Ahmad Zahid, RISDA perlu meraikan kecemerlangan pelajar bukan sekadar dengan jumlah A yang diraih pelajar sebaliknya motivasi untuk mereka terus maju dan berjaya.
“Dengan peruntukan yang ada, saya sendiri akan terus meneroka kerjasama dengan universiti awam agar pelajar-pelajar ini diberi pendedahan seawal mungkin untuk mengejar masa depan mereka,” katanya.-BH Online