KUALA LUMPUR: Statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) menyatakan seramai 38,953 individu kehilangan pekerjaan antara Januari hingga Mei 2026, dengan majoriti kes melibatkan golongan pekerja berusia antara 25 hingga 39 tahun.
Data itu turut menunjukkan, lelaki merupakan kumpulan paling ramai terjejas dengan 23,536 kes atau 60.4 peratus daripada keseluruhan kehilangan pekerjaan, manakala wanita mencatatkan 15,417 kes bersamaan 39.6 peratus.
Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, kes kehilangan pekerjaan (LOE) melibatkan beberapa sektor utama ekonomi termasuk sektor pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.
Tambahnya, sektor lain yang turut terjejas ialah pembaikan kenderaan bermotor selain aktiviti pentadbiran dan perkhidmatan sokongan.
“Keadaan ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh langkah penstrukturan semula organisasi dan pelarasan operasi perniagaan yang dilaksanakan oleh syarikat bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Dalam pada itu, Ramanan berkata, pelbagai langkah intervensi sedang dipergiat bagi membantu golongan terjejas mendapatkan pekerjaan baharu.
Antaranya dengan meningkatkan kemahiran serta memperkukuh daya tahan pasaran buruh negara dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi dan krisis geopolitik global.
“Peningkatan kes kehilangan pekerjaan juga menuntut usaha mempercepatkan peralihan tenaga kerja ke sektor yang mempunyai permintaan lebih tinggi,” katanya.
Ramanan turut berkata, majoriti individu yang terjejas terdiri daripada golongan muda dan berkelayakan, tumpuan diberikan kepada usaha menyelaraskan kemahiran tenaga kerja dengan keperluan industri masa hadapan menerusi program peningkatan dan latihan semula kemahiran.
Pada masa sama, pekerja digalakkan memanfaatkan platform Labour Market Exchange (LMX) danMYFutureJobs Galaxy bagi mendapatkan maklumat pasaran buruh yang lebih komprehensif serta merancang laluan kerjaya yang bersesuaian.
Tambah beliau, KESUMA melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut memperkukuh sokongan kepada pekerja yang terjejas menerusi program peralihan kerjaya, peningkatan kemahiran dan intervensi awal bagi sektor yang berisiko tinggi terjejas.
Namun, Ramanan menegaskan, pasaran buruh Malaysia kekal berdaya tahan dengan jumlah tenaga buruh mencecah 17.33 juta orang pada April 2026, kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0 peratus serta kadar penyertaan tenaga buruh berada pada 70.9 peratus.
Beliau turut berkata, KESUMA akan terus memantau secara rapi perkembangan ekonomi dan geopolitik global.
Katanya, langkah itu bagi membolehkan intervensi awal dilaksanakan dalam mengurangkan risiko terhadap pekerjaan serta memastikan tenaga kerja negara kekal berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan pasaran.-BH Online
