Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kajian mengenai perundangan berkaitan ‘Lemon Law’ yang dimulakan bulan lepas melibatkan kumpulan perunding pakar dijangka selesai September ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Lemon Law ialah undang-undang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak selain gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.

Armizan berkata kajian kebolehlaksanaan Lemon Law itu dijalankan susulan pelbagai aduan serta kes yang berlaku dan hasilnya akan dijadikan asas pertimbangan sama ada perlu membuat penambahbaikan terhadap kerangka perundangan sedia ada atau menggubal perundangan baharu.

“Sebagai usaha berterusan KDPN akan terus melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk penganjuran Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 pada 4 Jun,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai usaha kerajaan menggubal akta baharu atau meminda akta sedia ada berkaitan Lemon Law bagi melindungi pengguna dalam hal pembelian kenderaan dan tahap kesediaan pemain industri kenderaan terhadap pengenalan perundangan tersebut.

Armizan berkata setakat ini peruntukan perundangan bercirikan Lemon Law termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) di bawah kawal selia KPDN.

Selain itu, peruntukan undang-undang sedia ada yang mempunyai ciri komponen Lemon Law juga terkandung dalam beberapa akta dan peraturan merentasi kementerian dan agensi di Malaysia seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967. 

Mengulas mengenai Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024, Armizan berkata ia bertujuan mendapatkan maklum balas daripada para pemegang taruh berkenaan cadangan pengukuhan kerangka perundangan Lemon Law di Malaysia.

Menurutnya, bersandarkan simposium tersebut, didapati semua pemegang taruh termasuk pihak industri memberikan respons positif untuk memperkukuhkan perlindungan hak kepenggunaan melalui Lemon Law sekali gus membantu perkembangan industri automotif negara.-Harian Metro Online